SPRM lancar platform digital OKU lapor rasuah

Norazlan menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Laman OKU Pendengaran dan majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan Orang Pekak Malaysia (MFD) hari ini. Foto Bernama
Norazlan menyampaikan ucapan pada majlis Pelancaran Laman OKU Pendengaran dan majlis Menandatangani MoU antara SPRM dan Orang Pekak Malaysia (MFD) hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini melancarkan platform digital dikenali sebagai Laman OKU Pendengaran Portal SPRM untuk golongan orang kurang upaya (OKU) pendengaran menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti rasuah.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, platform digital yang dibangunkan dengan kerjasama Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD) dimuat naik dalam portal agensi itu pada Ogos lepas.

"Pendedahan dan meningkatkan pengetahuan kepada orang awam mengenai isu rasuah harus dipergiat di samping memupuk sokongan dan penglibatan semua lapisan masyarakat, termasuk komuniti OKU pendengaran serta komuniti OKU lain untuk tampil dan melaporkan isu rasuah.

"Mereka (komuniti OKU) boleh menghantar maklumat isu-isu rasuah atau pertanyaan berkaitan dengan SPRM dalam bentuk rakaman menggunakan bahasa isyarat," katanya pada sidang media selepas melancarkan laman OKU pendengaran dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara SPRM dan MFD di Puchong di sini.

Norazlan berkata laman OKU Pendengaran Portal SPRM ini adalah penambahan kepada lapan saluran sedia ada untuk orang ramai membuat laporan iaitu antaranya melalui emel info@sprm.gov.my, kiriman mesej di talian 019-6000 696 dan melaporan di pejabat SPRM berdekatan.

Norazlan turut berharap komuniti OKU pendengaran akan menggunakan platform digital itu secara meluas untuk berkomunikasi dengan SPRM.

"Jika sebelum ini komuniti OKU perlu membawa jurubahasa mereka untuk membuat laporan dan kini sebagai sebuah agensi kerajaan, kita sediakan infrastruktur ini bagi memudahkan mereka walaupun laporan diterima adalah sedikit.

"Mereka juga tidak perlu risau kerana identiti mereka dirahsiakan dan terlindung menerusi Akta Perlindungan Pemberi Maklumat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, Norazlan menyaksikan majlis menandatangani MoU antara SPRM dan Presiden Persekutuan Orang Pekak Malaysia Mohamad Sazali Shaari.

Norazlan berkata, MoU yang berkuat kuasa tiga tahun itu antaranya melibatkan kerjasama dalam melatih pegawai SPRM sebagai jurubahasa isyarat dalam usaha menyebarluaskan mesej antirasuah selain membantu golongan OKU pendengaran berkaitan aduan atau maklumat rasuah di pejabat agensi itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!