Kerajaan jimat RM270 juta menerusi tiga program banduan

Ismail (dua dari kanan) mencuba hukuman rotan yang dipamerkan kepada orang ramai di Temerloh pada Khamis.
Ismail (dua dari kanan) mencuba hukuman rotan yang dipamerkan kepada orang ramai di Temerloh pada Khamis.
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan berjaya menjimatkan kira-kira RM270 juta menerusi tiga program iaitu Orang Diparol (ODP), Orang Bebas Berlesen (OBB) dan Perintah Kehadiran Wajib (PKW) sekali gus dapat membantu warga tembok di negara ini kembali memulakan kehidupan baharu.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, 1, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed berkata, sebanyak RM180 juta dapat dijimatkan untuk program ODP dan OBB dan hampir RM90 juta bagi PKW.

Menurutnya, hampir 80,000 orang dari seluruh negara yang terlibat dalam program tersebut setakat ini dengan memberikan latihan kemahiran supaya dapat diterima oleh masyarakat selain memiliki tabung sendiri dan menjimatkan kos mereka semasa di dalam penjara.

"Ini satu pendekatan yang sangat positif dan ada yang mendapat pendapatan hingga hampir RM10,000 sebulan yang boleh dijadikan ikon supaya banduan lain mendapat peluang kedua untuk kembali ke dalam masyarakat.

"Jadi saya menyeru komuniti setempat terutama keluarga sendiri menerima mereka seperti orang lain," katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau ditemui sempena program jangkauan luar Timbalan Menteri Dalam Negeri 1 bersama ODP/OBB, majikan dan masyarakat setempat di Dewan Dato Zaharudin Abu Kassim dekat Kerdau di sini.

Hadir sama, Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Kemasyarakatan), TKJP Datuk Ibrisam Abdul Rahman, Pengerusi Lembaga Parol III Kementerian Dalam Negeri, Rozielawaty Ab Ghani dan Pengarah Penjara Pahang, Datuk Abu Hasan Hussain.

Dalam pada itu, Ismail memberitahu, majikan di negara ini memberikan sambutan amat positif terhadap program tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Ia dapat dilihat banyak majikan seperti Felcra telah menyerapkan mereka sebagai kakitangan tetap.

"Setakat ini sebanyak 150 buah majikan seluruh negara antaranya melibatkan syarikat besar seperti Panasonic, Boustead Berhad dan Felcra mengambil bahagian dalam program ini.

"Saya menyeru lebih ramai majikan tampil ke hadapan untuk memberikan peluang kepada pesalah-pesalah terlibat menerusi tiga program ini," ujar beliau.

ODP dan OBB mula diperkenalkan pada 2008 manakala PKW pada 2010 dan dipinda pada tahun ini.

Sementara itu, bagi bekas banduan Muhamad Fadzrul Hakim, 34, bersyukur kerana terlibat dalam program ODP yang banyak memberikan kesan positif terhadap dirinya sekali gus dapat berdikari serta kembali ke dalam masyarakat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!