[VIDEO] Malaysia rugi RM1 trilion akibat rasuah

Rais Hussin
Rais Hussin
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Malaysia mengalami kerugian dianggarkan hampir RM1 trilion dalam tempoh 25 tahun akibat amalan rasuah serta ketirisan dalam pengurusan negara.

Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) EMIR Research, Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, jumlah tersebut mewakili hingga empat peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sejak tahun 1997.

"Di EMIR Research, kita tahu masalah korupsi atau rasuah merupakan satu gaya hidup masyarakat yang akhirnya akan menghacurkan negara, memiskinkan rakyat sekali gus merompak masa depan negara.

"Jika dilihat statistik atau data dalam tempoh 25 tahun kebelakangan ini, purata dua hingga empat peratus duit yang telah hilang daripada KDNK negara (adalah) akibat perbuatan rasuah lebih kurang RM1 trilion, bukan jutaan ringgit, bukan bilion (ringgit).

"Jadi bayangkan kalau kita ada RM1 trilion sekarang, apa yang dapat dilakukan untuk membantu rakyat. Rasuah bukan sahaja memiskinkan rakyat tetapi turut menyumbang kepada isu keselamatan makanan, brain drain selain masalah lain. Perkara ini harus ditangani segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran buku Korupsi Dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu: Perlunya Disegerakan Transformasi Moral-Etika di Kumpulan Karangkraf pada Khamis.

Dalam pada itu Rais Hussin turut menggalakkan kumpulan pemikir lain untuk berkongsi kajian serta dapatan mereka dengan masyarakat luar secara jujur agar satu perubahan drastik dapat dilakukan sebagai usaha membanteras amalan rasuah di negara ini.

"Kita tidak boleh lagi ikut seperti apa yang sedang berlaku sekarang, trajektori ekonomi negara tidak berapa baik, kalau Malaysia tidak mempunyai minyak dengan gas, kemungkinan trajektori negara sama seperti Sri Lanka.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya, kita mesti berani bangun dan memberi tahu kepada pemimpin apa yang sedang berlaku ketika ini (rasuah) adalah salah. Bukan sahaja dari segi agama tetapi telah merompak daripada generasi akan datang," ujarnya.

Sementara itu, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan mencemar duli merasmikan pelancaran buku terbitan EMIR Research itu hasil tulisan tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!