PRU15 ketika banjir tindakan terdesak: PKR
KUANTAN - Desakan pemimpin tertentu supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan ketika musim banjir disifatkan satu tindakan terdesak.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Lee Chean Chung berkata, tindakan itu ditafsir sebagai satu usaha untuk menyelamat pemimpin politik sedang berdepan dengan kes mahkamah.
Beliau mengakui tidak faham kenapa UMNO masih mahu mengadakan PRU sebelum akhir tahun ini, melainkan ada tujuan tertentu.
"Memanggil PRU sewaktu banjir juga tidak masuk akal. Tapi ia mungkin dapat menyelamatkan seorang dua politikus yang puas mencari jalan keluar daripada kes mahkamah mereka.
"Sedangkan perbuatan jelas merugikan jutaan rakyat biasa dan kita berharap rakyat bersama kita dalam perkara seperti ini kerana pembubaran parlimen pada musim tengkujuh umpama menangguk di air keruh, serta menjadikan keadaan lagi tidak stabil," katanya ketika mengadakan sidang akhbar di pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu di sini pada Khamis.
Beliau menjelaskan, sekiranya Parlimen dibubarkan sewaktu banjir ia akan mengakibatkan situasi negara tanpa kerajaan ataupun 'kerajaan tanpa kepala' yang pasti menyulitkan penyampaian arahan, pelaksanaan kerja bantuan dan urusan penyelamatan.
Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan bahawa PRU pada asalnya akan membelanjakan RM1 bilion.
Chean Chung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Semambu berkata, anggaran ini adalah berdasarkan keadaan tidak berlaku banjir dan kos tersebut pastinya lebih tinggi sekiranya PRU diadakan semasa banjir.
"Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar, turut mengakui bahawa kos menguruskan PRU ketika hujan atau banjir, akan meningkat sedikit sekitar 10 peratus untuk seluruh negara jika ada pusat-pusat mengundi yang terpaksa ditutup.
"Ini bersamaan dengan peningkatan kos pilihan raya sebanyak RM100 juta. Harus ingat bahawa kerugian banjir baru-baru ini mencecah RM6.5 bilion.
"Rakyat tidak akan bodoh sehingga sanggup menanggung kos lebihan PRU15 sebanyak RM100 juta. Bukankah lebih baik dana tersebut digunakan untuk menaik taraf parit, membersihkan sungai serta memperbaiki longkang?" soal beliau lagi.
Chean Chung memaklumkan rakyat biasa turut faham bahawa menyelamatkan nyawa dan harta adalah jauh lebih penting daripada kempen dan pilihanraya.
Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menuntut PRU15 diadakan segera kerana bakal menjejaskan peluang BN sekiranya ditangguhkan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!