KDN bangkitkan isu rakyat Malaysia terkandas di negara asing
KUALA LUMPUR - Isu rakyat Malaysia terkandas di negara asing disebabkan sindiket penipuan pekerjaan luar negara adalah antara perkara yang dibangkitkan pada Mesyuarat Plenari Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) Ke-16, pada Rabu.
Mesyuarat anjuran kerajaan Kemboja selaku Pengerusi ASEAN 2022 itu berlangsung secara dalam talian dan disertai 10 negara ASEAN, Negara Rakan Dialog ASEAN dan Sekretariat ASEAN.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan pada Khamis memaklumkan, penubuhan pasukan petugas khas di bawah Polis Diraja Malaysia giat menjalankan tindakan bagi menangani isu itu serta turut bekerjasama dengan Interpol (Organisasi Polis Jenayah Antarabangsa), Aseanapol (Polis ASEAN) dan agensi penguatkuasaan lain.
"Ketua delegasi kerajaan Kemboja iaitu Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Kemboja Samdech Kralahom Sar Kheng memberikan respons positif dengan menyatakan komitmen untuk menyelamatkan mangsa serta bersama-sama dengan negara yang terlibat bagi membanteras sindiket penipuan pekerjaan yang beroperasi di Kemboja,” menurut kenyataan itu.
Mesyuarat itu disertai Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz selaku wakil Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud bersama pegawai-pegawai kanan KDN. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!