AMH Wilayah Persekutuan struktur semula kepimpinan
SHAH ALAM - Angkatan Muda Harapan (AMH) Wilayah Persekutuan bersetuju dengan penstrukturan semula organisasi berikutan perubahan penjawatan dalam kepimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).
AMH Wilayah Persekutuan dalam kenyataan berkata, kepimpinan baharu jawatan berkenaan memilih Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Asmaaliff Abdul Adam sebagai Ketua dan Pengarah Biro Pilihan raya.
Menurut kenyataan tersebut, jawatan Timbalan Ketua terdiri daripada Ketua AMK, Mohammad Azfar Aza Azhar dan Ketua DAPSY, Edmund Teoh.
Selain itu, ujarnya, jawatan sebagai Naib Ketua pula diisi oleh Budihardi Sabei (Pemuda Amanah), Noor Amelia Zainabila Zaiffri (AMK) dan Alice Lan (DAPSY)
Dalam kenyataan yang sama, AMH Wilayah Persekutuan juga akan mengadakan Jelajah Angkatan Muda Harapan di peringkat Wilayah Persekutuan.
Tambahnya, jelajah tersebut dilakukan bersama-sama dengan kepimpinan AMH peringkat pusat pada 8 Oktober ini dengan menjelajah ke beberapa kawasan Parlimen dan akhirnya menuju Putrajaya.
“Mesyuarat juga membincangkan beberapa perkara penting seperti isu Kampung Bharu, isu anak muda dan isu kos kenaikan harga barang serta akan terus komited untuk menjadi suara kepada anak muda dan rakyat Malaysia,” kata kenyataan itu pada Rabu.
Kenyataan tersebut dikeluarkan bersama oleh Asmaaliff, Mohammad Azfar dan Edmund.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!