Sukma 2022: Terengganu selesa merendah diri
JUARA hatrik, Terengganu selesa merendah diri menjelang pertembungan akhir bola sepak lelaki Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 berdepan Pulau Pinang di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras pada Jumaat.
Ketua Jurulatih Terengganu, Badrul Afzan Razali mengingatkan pemainnya supaya jangan ambil mudah cabaran Pulau Pinang selepas pasukan itu mencipta kejutan dalam setiap aksi sehingga layak ke final.
"Kita melihat Pulau Pinang sebuah pasukan yang bagus, saya letakkan sasaran peluang 50-50 pada final. Bagi saya Terengganu bukanlah pasukan pilihan, ini adalah aksi terakhir kedua-dua pasukan jadi siapa yang kurang buat kesilapan mereka akan menang.
"Sasaran malam esok (Jumaat) adalah emas tetapi kita tidak pandang mudah Pulau Pinang yang menewaskan Wilayah Persekutuan (separuh akhir). Kita tidak ambil mudah aksi final," katanya ketika sidang akhbar praperlawanan di Kuala Lumpur pada Khamis.
Mengulas Terengganu memiliki kelebihan dengan kelibat dua pemain Terengganu FC 2, beliau berkata: "Bola sepak bukan sukan individu tapi berpasukan, jadi bagi saya kerjasama pasukan kena kuat dan kita akan berikan terbaik esok."
Dalam pada itu, ketua pasukan Terengganu, Safwan Mazlan mengakui beliau dan barisan pemain bermotivasi tinggi untuk membawa pulang emas walaupun menyedari berdepan tentangan sengit pihak lawan yang kini berada pada tahap terbaik.
"Perasaan gementar tiada kerana kami tak jangka akan lawan Pulau Pinang jadi kami akan membuat persiapan rapi. Saya boleh kata Terengganu dan Pulau Pinang tiada beza, tetapi selagi belum habis 90 minit kami akan tetap lawan," katanya.
Sebagai rekod, kali terakhir Terengganu mara ke final adalah ketika melengkapkan hatrik emas pada edisi 2010 selepas turut meraih pencapaian sama pada dua edisi sebelumnya, manakala Pulau Pinang belum pernah memenangi emas selepas kecundang di pentas final pada edisi 2000 dan 2002.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!