[VIDEO] Polis serbu 21 bengkel disyaki ubah suai motosikal
GEORGETOWN - Polis memeriksa 21 buah bengkel motosikal dalam operasi khas di tiga daerah di negeri ini dalam usaha mengekang aktiviti lumba haram di Pulau Pinang.
Operasi itu melibatkan bengkel motosikal di daerah Timur Laut, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, operasi itu bertujuan memeriksa bengkel motosikal yang dipercayai terlibat dalam pengubahsuaian untuk kegiatan lumba haram dan samseng jalanan.
Menurutnya, pemeriksaan tersebut diadakan susulan kemalangan ngeri melibatkan lima penunggang motosikal maut di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu dalam kejadian pada 17 Julai lalu.
"Hasil siasatan yang dijalankan polis, kita melancarkan operasi yang menumpukan kepada bengkel motosikal yang dipercayai terlibat dalam pengubahsuaian motosikal untuk tujuan lumba haram dan samseng jalanan.
"Ini adalah langkah-langkah yang diambil polis dalam usaha bagi memastikan sifar aktiviti lumba haram di Pulau Pinang. Sebanyak 21 buah bengkel dikenal pasti di tiga daerah yang mana, sembilan daripadanya adalah di Timur Laut," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas operasi bersepadu ke atas bengkel motosikal di Tanjung Bungah di sini pada Khamis.
Dalam kejadian awal pagi 17 Julai lalu, lima maut manakala dua penunggang motosikal parah selepas terbabit dalam kemalangan melibatkan beberapa motosikal dan dua kereta di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu.
Operasi tersebut turut melibatkan agensi lain antaranya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Soffian berkata, pemeriksaan ke atas dua buah bengkel di Lembah Permai, Tanjung Bungah itu dijalankan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan pengubahsuaian motosikal.
"Kita periksa dua buah bengkel di Lembah Permai ini kerana disyaki terlibat dalam kegiatan ubahsuai motosikal dan menemui beberapa kesalahan antaranya tidak mempunyai lesen perniagaan yang sah.
"JPJ telah mengeluarkan tiga notis ke atas kedua-dua bengkel tersebut kerana kesalahan melakukan pengubahsuaian motosikal tanpa lesen.
"Kita juga membawa balik tiga motosikal ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) bagi mengesan pemilik selain memastikan ia diubah semula kepada spek asal. Pemilik motosikal ini akan disoal siasat tujuan mereka mengubah suai motosikal," katanya.
Menurut beliau, polis turut menjalankan ujian saringan air kencing ke atas pekerja bengkel, namun keputusannya belum diperoleh.
Tambahnya, salah sebuah bengkel yang diperiksa itu turut menyediakan makmal dyno (dyno lab) yang bertujuan untuk meningkatkan keupayaan dan kelajuan sesebuah motosikal.
"Pemeriksaan polis lebih ke arah itu iaitu pengubahsuaian motosikal, sementara pihak KPDNHEP pula menumpukan kepada pemeriksaan ketulenan aksesori yang dijual di bengkel-bengkel ini. Kita akan teruskan operasi seperti ini untuk memastikan pengusaha bengkel mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengubahsuai motosikal tanpa mendapat kelulusan daripada JPJ. Jika ada yang masih berdegil, kita tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk mencadangkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk menarik semula lesen perniagaan mereka," katanya.
Jelas beliau lagi, pemeriksaan di salah sebuah bengkel yang menjalankan operasi di rumah persendirian mendapati terdapat banyak rangka motosikal yang ditinggalkan.
"Kita akan siasat kesemua rangka motosikal ini untuk pemeriksaan dari segi rekod, sama ada pernah dilaporkan hilang dan sebagainya.
"Kita juga akan siasat mengapa motosikal yang lama ini tidak diambil pemiliknya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!