Evan intai slot skuad memanah kebangsaan
ATLET memanah Sabah, Evan Rich Chong Qi Wei tidak menyangka pengalaman dua tahun berkecimpung dalam sukan memanah, berjaya mengangkatnya selaku juara acara recurve individu lelaki pada penampilan sulungnya di pentas Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada Khamis.
Pemain berusia 16 tahun itu berkata, dia yang mula mengangkat busur panah pada usia 14 tahun kini mahu menyasarkan sesuatu yang lebih besar iaitu menempatkan dirinya selaku atlet kebangsaan dalam usaha meneruskan kesinambungan kejayaan dalam sukan itu.
"Saya tidak menyangka dapat meraih emas sebentar tadi dan saya berpuas hati biarpun atlet lain juga memberikan saingan sengit.
"Selepas ini ada sesi pemilihan akan diadakan jadi itu sasaran saya. Saya akan berusaha bersungguh-sungguh untuk menempatkan diri," katanya kepada pemberita di sini.
Pada acara recurve berkenaan atlet kelahiran Kota Kinabalu itu menewaskan pemanah Pulau Pinang Naveer Fikri Zinuldin dengan keputusan 6-0 yang meraih perak, sementara gangsa menjadi milik pemanah Terengganu Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan.
Dalam pada itu bagi kategori recurve individu wanita, menyaksikan emas acara itu menjadi milik pemanah Wilayah Persekutuan, Alia Qursyiah Mazlan yang menewaskan pemanah Sarawak, Joey Tan Xing Lei 6-2 meraih perak.
Gangsa pula dimenangi rakan sepasukan Joey, Supang Yahya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!