Bryan lebur rekod 13 tahun kebangsaan
ATLET Wilayah Persekutuan, Bryan Leong boleh tersenyum gembira apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan acara renang 100 meter (m) kuak kupu-kupu lelaki dengan catatan masa 53.32 saat (s) dan merangkul pingat emas dalam acara itu pada Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada Khamis.
Pencapaian dilakar atlet berusia 19 tahun itu di Pusat Akuatik Nasional di Bukit Jalil, di sini menyaksikan beliau berjaya meleburkan rekod lama 53.33s yang dicipta bekas perenang negara, Daniel Bego di Kejohanan Dunia di Rom, Itali pada 2009.
Bryan mengakui tidak menyangka mampu memadam rekod kebangsaan milik idolanya, namun gembira kerana sudah menghadiahkan Wilayah Persekutan empat pingat emas di temasya itu.
"Saya bagaikan tidak percaya dan tidak menjangka untuk memecahkan rekod kebangsaan, ia merupakan satu rekod kepantasan oleh Daniel sejak 2009, ia sangat mengujakan dan saya gembira kerana dapat memecahkan rekod itu hari ini.
"Ia hanya berbeza 0.01 saat, jadi ia seumpama saya mencatatkan rekod peribadi terbaik saya dan rekod kebangsaan. Di Hanoi, saya juga memecahkan rekod kebangsaan 50m gaya bebas dengan beza hanya 0.01 saat, ia merupakan satu rahmat di sebaliknya ia sungguh bermakna kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita.
Pingat perak acara itu dimenangi atlet Selangor, Ng Tze Xiang dengan catatan masa 54.72s dan Leow Zheng Yong dari Melaka yang merakam 55.82s terpaksa berpuas hati membawa pulang gangsa.
Sebelum ini, Bryan telah mengutip tiga emas masing-masing dalam acara 50m kuak kupu-kupu, 50m kuak dada dan 4x100m gaya bebas.
Seterusnya beliau akan beraksi dalam dua lagi acara esok iaitu dalam 50m gaya bebas dan 4x100m individu rampaian.
"Selepas Sukma saya akan balik sambung belajar di England dalam masa sama terus berlatih sebab tahun depan banyak kejohanan iaitu Kejohanan Dunia, Sukan SEA tetapi perlu berusaha untuk kelayakan masa bagi mewakili Malaysia," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!