Sultan Selangor berkenan rasmi Masjid Putra Heights

Sultan Selangor menyempurnakan upacara perasmian Masjid Putra Heights pada Khamis.
Sultan Selangor menyempurnakan upacara perasmian Masjid Putra Heights pada Khamis.
A
A
A

PETALING - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat merasmikan Masjid Putra Heights, Subang, di sini pada Khamis.

Baginda tiba kira-kira jam 6.40 petang diiringi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Haris Kasim dan Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir.

Orang Besar Daerah Petaling, Datuk Emran Kadir berkata, masjid tersebut siap sepenuhnya pada 17 April 2022 dengan kos pembinaan sebanyak RM20.67 juta.

Menurutnya, masjid itu mampu menampung sehingga 5,000 jemaah menjadikannya antara masjid terbesar di daerah Petaling.

"Masjid turut dibina dengan kelengkapan kemudahan dewan serbaguna yang boleh dimanfaatkan oleh ahli kariah untuk pelaksanaan aktiviti dan penjanaan pendapatan masjid.

"Dewan ini juga boleh difungsikan sebagai Pusat Penempatan Sementara (PPS) mangsa banjir pada bila-bila masa," katanya pada majlis perasmian Masjid Putra Heights di sini pada Khamis.

Beliau berkata, masjid tersebut dibina menerusi dana pelbagai sumber yang digerakkan Jawatankuasa Penaja Pembangunan diketuai Borhan Adenan dan pasukannya.

"Hasil usaha mereka berjaya mengumpulkan dana pembinaan masjid lebih RM31 juta meliputi kutipan wakaf ahli kariah dianggarkan RM12,25 juta, Jabatan Pembangunan Persekutuan (ICU)RM5 juta dan kerajaan negeri Selangor sebanyak RM14 juta.

Artikel Berkaitan:

"Mengambil kira kos pembinaan masjid ini yang menelan kos sebanyak RM20.67 juta maka masih terdapat baki kutipan yang boleh dimanfaatkan oleh pihak pentadbir masjid bagi membeli barang kelengkapan perabut lain yang diperlukan oleh pihak masjid," katanya.

Beliau berkata, masjid yang tersergam itu diharap memacu pembangunan rohani dan sosio ekonomi ummah serta menjadi masjid contoh yang akan mengangkat kembali keunggulan dan kecemerlangan masjid di Selangor.

Pada majlis tersebut baginda turut berkenan menunaikan solat magrib dan isyak berjemaah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!