Tembok runtuh: 10 kubur dihakis tanah

Fahmi ketika melawat lokasi kejadian hari ini.
Fahmi ketika melawat lokasi kejadian hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sekurang-kurangnya 10 kubur terjejas akibat runtuhan tembok dan hakisan tanah yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Bukit C Kampung Kerinchi, Pantai Dalam di sini, dalam kejadian jam 6 petang semalam.

Kedudukan kubur-kubur terlibat yang berada di kawasan tebing runtuh memberi risiko berlaku hakisan lebih besar dan dikhuatiri menjejaskan lebih banyak kubur di situ.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, berkata, kejadian berlaku ekoran hujan lebat semalam dan struktur tembok yang mungkin tidak kukuh menyebabkan berlaku hakisan dan runtuhan tanah.

Menurutnya, pihaknya akan memastikan tindakan segera dapat diambil mengelakkan berlaku hakisan lebih besar tambahan pula dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

"Saya telah maklumkan kepada Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mengambil tindakan segera sekurang-kurangnya menutup tanah yang terdedah. Kita bimbang apabila hujan lebat hari ini keadaan akan bertambah teruk.

"Dalam masa sama tindakan lanjut juga perlu diambil termasuk membina semula tembok yang runtuh namun perlu dilakukan dengan lebih teliti agar kejadian tidak berulang," katanya kepada Sinar Harian.

Keadaan hakisan dan runtuhan yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Bukit C Kampung Kerinchi Pantai Dalam.
Keadaan hakisan dan runtuhan yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Bukit C Kampung Kerinchi Pantai Dalam.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada kemungkin perlu melakukan pemindahan kubur, beliau tidak melihat keperluan itu namun berharap pembaikian segera dapat dilakukan.

"Yang menjadi masalah adalah kubur-kubur terlibat sebelum ini digali terlalu hampir dengan tembok. Tembok yang dibina juga tidak diketahui tahap ketahanannya sama ada dibina dengan sempurna atau tidak.

"Saya akan mengatur pertemuan bersama pihak DBKL, JAWI dan pengurusan tanah perkuburan untuk melihat perkara ini dengan lebih teliti dan menyelesaikan masalah yang berlaku," katanya.

Terdahulu beliau melakukan lawatan ke lokasi kejadian bersama penduduk.

Beberapa hakisan yang berlaku.
Beberapa hakisan yang berlaku.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!