UMNO Alor Gajah lapor polis, individu fitnah KM

Abdul Hakim (lima dari kiri) bersama wakil pemimpin bahagian UMNO Alor Gajah selepas membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah, pada malam Khamis.
Abdul Hakim (lima dari kiri) bersama wakil pemimpin bahagian UMNO Alor Gajah selepas membuat laporan polis di Balai Polis Masjid Tanah, pada malam Khamis.
A
A
A

ALOR GAJAH - UMNO Bahagian Masjid Tanah membuat tujuh laporan polis berikutan kata-kata tohmahan dan fitnah yang mencemarkan nama Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Laporan polis yang dibuat di Balai Polis Masjid Tanah pada malam Khamis itu, susulan hantaran di laman sosial, Facebook 'Melaka United Fans' yang mendakwa Sulaiman punca masalah pembayaran gaji pasukan bola sepak Melaka yang tertunggak tiga bulan.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abd wahid menyifatkan tindakan itu tidak beretika sekali gus menjejaskan imej Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu itu sebagai Ketua Menteri.

"Isu berhubung gaji dan insentif Pasukan Bola Sepak Melaka United (MU) tiada kaitan dengan Datuk Seri Sulaiman kerana beliau bukan pemilik pasukan itu.

"Kita kesal dan kecewa dengan kenyataan itu kerana pasti sedikit sebanyak menjatuhkan imej dan maruah Ketua Menteri, dan kenyataan itu juga dilihat biadap," kata Abdul Hakim.

Abdul Hakim yang juga Setiausaha Pemuda UMNO negeri berkata, seluruh kepimpinan UMNO bahagian itu mengharapkan pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan seterusnya mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu-individu yang membuat hantaran komen tersebut.

"Selain itu lima bahagian UMNO lain iaitu UMNO Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin, Kota Melaka dan Hang Tuah Jaya juga akan membuat laporan polis," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu yang dihubungi mengesahkan menerima laporan polis itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 506(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian pada Rabu melaporkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan pembatalan slot Melaka United FC (MUFC) untuk beraksi pada saingan TM Piala Malaysia 2022 berikutan kegagalan kelab berkenaan melunaskan tunggakan gaji pemain serta pegawai.

MFL memberitahu, keputusan pembatalan slot MUFC itu dibuat setelah Ahli Lembaga Pengarah MFL selesai bermesyuarat pada Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!