Remaja maut motosikal bertembung
BATU PAHAT - Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah lagi motosikal di Jalan Simpang Lima-Parit Sulong di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, anggota Balai Polis Parit Sulong menerima panggilan orang awam berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi.
"Kejadian berlaku di hadapan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat melibatkan dua motosikal.
"Mangsa berusia 14 tahun dipercayai sedang menunggang motosikal dari arah Parit Sulong ke Simpang Lima.
"Tiba-tiba datang sebuah motosikal dari arah hadapan yang telah masuk ke lorong bertentangan lalu bertembung sesama sendiri," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Menurut beliau, akibat kemalangan tersebut, mangsa disahkan maut di tempat kejadian.
"Sementara penunggang motosikal yang datang dari arah bertentangan berusia 17 tahun mengalami cedera ringan. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!