AMK Pahang persoal status 194 projek atasi banjir

Gambar hiasan (Gambar kecil: Chung Kuang)
Gambar hiasan (Gambar kecil: Chung Kuang)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang digesa supaya mendedahkan perkembangan terkini 194 projek mengurangkan risiko banjir diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail pada Mac lalu.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Pahang, Chan Chung Kuang berkata, status projek dikatakan akan dilaksanakan gagal dimaklumkan kepada rakyat sehingga kini.

Menurutnya, kerajaan negeri seharusnya memberi akses kepada rakyat untuk mengetahui peratusan projek sudah dilaksanakan sebagai rujukan bagi menghadapi kedatangan Monsun Timur Laut.

"Persoalannya, apakah semua projek ini telah dilaksanakan dan kesan banjir di setiap daerah atau kawasan tumpuan banjir dapat dapat dikurangkan untuk tahun ini.

"Semua ini dalam tanda tanya, sekarang ini sudah bulan September, jika semua projek ini tidak disiapkan dalam tempoh dua bulan lagi.

"Kalau betul ramalan dibuat Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai kemungkinan berlaku banjir besar penghujung bulan November ini, sudah tentu rakyat Pahang akan terus jadi mangsa banjir," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Pada 31 Mac lalu ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Wan Rosdy mengumumkan, pelan jangka pendek bagi mengatasi dan mengurangkan risiko banjir di Pahang.

Pelan itu meliputi 158 projek pemulihan sungai dan 36 lagi membabitkan kerja naik taraf kolam takungan banjir dengan diperuntukkan bagi projek ini adalah RM20.36 juta.

Artikel Berkaitan:

Chung Kuang menegaskan kerajaan Pahang tidak boleh memberikan alasan taburan hujan meningkat mendadak sebagai punca banjir buruk berlaku.

Jelasnya, sebaliknya kerajaan perlu mengambil iktibar dan melakukan tindakan segera bagi mengatasi kesan berulang di kawasan sering dilanda banjir.

"Tapi dalam keadaan sekarang apa dikesalkan masih ada parti tertentu secara berterusan mendesak supaya pilihan raya umum diadakan segera. Jadi, apakah nilai rakyat pada pandangan mereka?" soal beliau lagi.

Sehubungan itu, Chung Kuang berpendapat kerajaan negeri perlu memberi komitmen untuk meletakkan usaha dan tumpuan bagi mengelak atau mengurangkan impak banjir sebagai keutamaan.

Tambahnya, bukan sekadar pelan, tetapi mempercepatkan langkah mendalamkan sungai, membersihkan parit, memperbanyakkan binaan kolam tangkungan banjir di semua kawasan tumpuan banjir, menaik taraf sistem perparitan dan sebagainya.

"Kita AMK Pahang sudah membuat persediaan untuk menghadapi banjir dengan pembentukan struktur dan melengkapkan jentera sukarelawan banjir di ke semua daerah di Pahang," ujar beliau lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!