Ratu cantik Myanmar dilarang masuk Thailand
BANGKOK - Seorang model dan peserta ratu cantik Myanmar tidak dibenarkan memasuki ke Thailand.
Miss Grand International Myanmar 2020, Han Lay, yang pernah menyampaikan ucapan menentang rampasan kuasa tentera ketika pertandingan itu tahun lalu dinafikan penyertaannya selepas tiba di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dari Vietnam pada Rabu.
Dalam satu kenyataan, Biro Imigresen menafikan dakwaan Han Lay, 23, telah ditahan.
Mengikut Seksyen 12 (1) Akta Imigresen, pihak berkuasa mendapati Han Lay tidak mempunyai visa sah untuk memasuki Thailand.
"Perjanjian telah dibuat dengan syarikat penerbangan untuk dia (Han Lay) menaiki penerbangan keluar dari Thailand," menurut kenyataan itu.
Bangkok Post melaporkan, pengasas pertandingan Miss Grand International, Nawat Itsaragrisil berkata, Han Lay berada di bahagian transit lapangan terbang itu sejak petang Rabu.
Han Lay, antara 20 finalis terbaik di Miss Grand International di Bangkok tahun lalu menarik perhatian dunia apabila beliau meminta bantuan segera untuk rakyat Myanmar akibat kekerasan tentera selepas rampasan kuasa pada 1 Februari 2021.
Selepas video itu tular di media sosial, di bawah pengurusan Miss Grand International, atas faktor keselamatan Han Lay tinggal di Thailand selama tiga bulan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!