Belia dipelawa sertai Satria bantu misi bencana banjir
SUNGAI PETANI - Golongan belia di negara ini dipelawa menyertai pasukan sukarelewan yang dijenamakan semula kepada Skuad Sukarelawan Anak Malaysia (Satria) bagi membantu misi bencana banjir di seluruh negara.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, penjenamaan semula pasukan sukarelawan tersebut adalah untuk meluaskan lagi peranan dan fungsinya seperti membantu menghadapi bencana banjir pada musim tengkujuh.
Menurutnya, penjenamaan itu juga adalah untuk memberikan penghargaan dan mengiktiraf usaha para sukarelawan yang ikhlas turun padang membantu masyarakat di kawasan bencana.
"Pasukan sukarelawan telah diwujudkan lebih awal lagi tetapi baharu buat penjenamaan nama semula. Kita tukar nama itu kerana sebelum ini mereka dipanggil sebagai sukarelawan, jadi kita mahu beri nama kepada hero-hero negara yang tidak didendang ini dan nama Satria paling sesuai dan tepat.
"Kita akan memberi latihan dan pendedahan aspek keselamatan sebelum kita masuk ke kawasan yang dilanda bencana.Pergerakan (kawasan banjir) mereka kita akan adakan secara berstruktur dan terancang, perkara ini fardhu kifayah yang kita sama-sama buat," katanya pada sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Karnival Prihatin Negara di dataran Aman Jaya Mall, Sungai Petani yang dirasmikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Ahmad Faizal berkata, seramai 300,000 belia telah menyertai pasukan sukarelawan tersebut dan beliau mengajak agar lebih ramai lagi golongan tersebut dapat menyertainya agar dapat terus membantu masyarakat di luar sana.
Sementara itu, Muhammad Sanusi pula berkata, Kerajaan Kedah sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan bencana banjir yang dijangka berlaku pada November depan.
Jelasnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bersedia sepenuhnya dengan mengendalikan bilik gerakan dan sentiasa menanti arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk berbincang dengan semua pejabat daerah di Kedah.
"Kita ambil tindakan kerana kita anggap (banjir) ini berlaku setiap tahun, jadi mesyuarat bencana banjir peringkat negeri akan diadakan pada minggu depan yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Norizan Khazali," ujar beliau lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!