Tolak pemimpin tidak bersih pada PRU15: Mukhriz

Mukhriz (dua dari kanan) mengetuk tangkai padi untuk meleraikan padi sebelum dijadikan emping.
Mukhriz (dua dari kanan) mengetuk tangkai padi untuk meleraikan padi sebelum dijadikan emping.
A
A
A

KODIANG - Titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah harus dijadikan peringatan oleh rakyat untuk menolak pemimpin yang tidak bersih pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, rakyat harus peka dengan ancaman rasuah dan hanya memilih calon yang terbukti bersih dan tidak terlibat dalam salah guna kuasa, penyelewengan atau sogokan.

Menurutnya, titah baginda itu juga mengingatkan kita sekiranya amalan rasuah diteruskan dalam kehidupan seharian, hanya akan menyebabkan seseorang itu tidak balik ke pangkal jalan selain mengundang kemusnahan terhadap agama, bangsa dan tanah air.

“Titah baginda seharusnya dijadikan pegangan kita semua dalam mengharungi cabaran dalam kehidupan. Ia sangat berbahaya dan jangan terkejut sekiranya kita dijajah semula sama ada oleh kuasa-kuasa asing atau dalaman disebabkan amalan rasuah.

“Kalau kita mahu selamat daripada ancaman rasuah, kita kena kuatkan jati diri dengan menolak rasuah secara bersungguh-sungguh,” katanya pada sidang akhbar selepas program ‘Jom Mengemping bersama Ahli Parlimen Jerlun’ di Megat Dewa di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Sultan Nazrin bertitah, pemimpin yang memperoleh kuasa melalui sogokan belum tentu akan setia dengan individu yang dirasuah dan sifat sebenar insan akan terserlah ketika seseorang itu mendapat jawatan dan kuasa.

Titah baginda, watak sebenar insan akan terpamer apabila telah memiliki kekayaan dan harta yang akan melenyapkan budaya kesederhanaan dan merendah diri serta menjelmakan sifat sombong dan gelagat bongkak.

"Ada manusia yang sanggup bersekongkol dan bersubahat melakukan kemungkaran serta tergamak berbohong kerana lupa punca rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan datangnya daripada ALLAH SWT.

Artikel Berkaitan:

"Rezeki, kuasa, pangkat dan jawatan sebenarnya ialah anugerah dan ujian daripada Ilahi,'' titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah demikian ketika berucap melancarkan buku karya tokoh akademik dan cendekiawan negara, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan bertajuk Korupsi dan Kemunafikan Dalam Politik Melayu, Perlunya Disegerakan Transformasi Moral Etika di Kumpulan Karangkraf.

Dalam pada itu, Mukhriz menegaskan masyarakat perlu bijak membezakan antara tohmahan tidak berasas dengan kes yang terbukti mempunyai kaitan dengan rasuah.

“Jangan pula kita termakan dengan fitnah dan buat keputusan yang silap kerana fitnah pun satu gejala yang kerap berlaku dalam negara kita.

“Berhati-hati dengan pemimpin yang sudah terbukti dikaitkan dengan kes rasuah, yang menunjukkan mereka apabila memiliki kuasa menyalahgunakan kuasa itu untuk kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Mengulas mengenai buku nukilan Mohd Kamal tersebut, Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun berkata, buku berkenaan menggemparkan negara susulan memberi gambaran bahawa orang Melayu boleh bersikap sehingga munafik apabila membudayakan amalan rasuah.

“Kemunafikan dengan rasuah menyentuh mengenai budaya orang Melayu itu sendiri. Saya sendiri sudah membaca buku berkenaan dan dapati apa yang digambarkan memang tepat.

“Ia perlu dihayati oleh semua orang, bukan sahaja orang Melayu kerana sebelum ini tiada yang mengulas secara langsung dan kena pada sasarannya, iaitu gejala yang semakin hari semakin menjadi amalan biasa khususnya kalangan pemimpin Melayu dan masyarakat Melayu sendiri,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!