Kerja musnahkan babi dijangkiti ASF di Kerian selesai: DVS

Kerja-kerja memusnahkan babi dijangkiti penyakit ASF di dua ladang komersial ternakan haiwan di Kerian, Perak selesai dilakukan. - Gambar hiasan
Kerja-kerja memusnahkan babi dijangkiti penyakit ASF di dua ladang komersial ternakan haiwan di Kerian, Perak selesai dilakukan. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerja-kerja memusnahkan populasi babi dijangkiti penyakit Demam Babi Afrika (ASF) di dua ladang komersial ternakan haiwan itu di Kerian, Perak dan pelupusan bangkainya secara tanam selesai dilakukan, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penyitaan, penutupan dan proses disinfeksi ke atas dua ladang babi komersial pula sedang dijalankan.

"DVS telah membuat pemantauan (survelan), pemeriksaan klinikal dan persampelan di ladang babi komersial di dalam kawasan terjangkit (Zon Pemantauan/Survelan) termasuk rumah sembelih di negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

"Survelan lapangan dan siasatan serta persampelan pada babi komersial dipergiatkan lagi di ladang dan rumah sembelih. Syarat pindah babi serta produk babi dari negeri Perak ke seluruh Semenanjung Malaysia telah diperketatkan,” menurut kenyataan itu.

Pada Isnin, DVS mengesahkan kejadian penyakit ASF di dua ladang komersial ternakan babi di Kerian berdasarkan ujian reaksi rantai polimerase oleh Institut Penyelidikan Veterinar.

Sehubungan itu, DVS memberitahu semua ladang babi komersial diminta memperkukuh amalan dan kemudahan biosekuriti di premis masing-masing bagi mencegah kemasukan penyakit ASF.

Antara langkah yang boleh diambil ialah memastikan pagar perimeter lengkap bagi mengelak pencerobohan orang dan haiwan liar termasuk babi hutan.

"Penternak juga dinasihatkan untuk tidak menghantar babi ke rumah sembelih sekiranya ada tanda klinikal disyaki penyakit di ladang.

Artikel Berkaitan:

"Kenderaan pengangkut babi mesti melalui proses disinfeksi secara menyeluruh meliputi permukaan luar dan di dalam lori, sebelum dan selepas keluar dari kawasan rumah sembelih,” katanya.

DVS menasihatkan orang ramai untuk tidak membeli babi hidup secara terus dari ladang atau kenderaan pengangkut babi selain tidak panik kerana penyakit ASF adalah tidak zoonotik iaitu tidak berjangkit kepada manusia.

"Setakat ini, tiada laporan atau aduan kematian babi yang tinggi diterima dari daerah Kerian,” katanya dan menambah semua penternak diminta melaporkan kepada DVS dengan kadar segera jika berlaku kematian luar biasa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!