Kes culik ejen kosmetik ada perkembangan positif
TANAH MERAH - Hasil siasatan kes penculikan seorang ejen kosmetik di Tumpat setakat ini menunjukkan perkembangan positif.
Perkara itu dikongsikan Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, namun tidak mendedahkan secara lebih lanjut berhubung perkembangan positif siasatan membabitkan mangsa culik, Rosnazirah Mohd Naim, 36.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Kelantan terus berhubung dengan pihak berkuasa Thailand dalam menjalankan siasatan kes berkenaan.
“Pihak polis masih berusaha dan yakin terhadap perkembangan kes ini termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani yang sangat mengambil berat serta sering bertanya mengenai perkembangan kes.
“Polis Kelantan meneruskan hubungan dengan pihak berkuasa di negara jiran dan perkembangan kes amat positif,” katanya ketika ditemui selepas solat Jumaat pada Program Komuniti Kepolisan dan Penyampaian Sumbangan kepada Asnaf di Masjid As-Syakirin di Kelewek di sini pada Jumaat.
Beliau turut berharap kerjasama masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes berkenaan.
“Kadang-kadang ada perkara yang kita tak boleh kongsi tetapi Insya-ALLAH kita akan mendapat berita yang baik. Sama-sama kita berdoa,” katanya.
Pada Selasa minggu lalu, Rosnazirah diculik oleh sekumpulan lelaki yang menaiki kereta Toyota Vios dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Tumpat pada jam 5.10 petang.
Mangsa dipercayai dibawa ke Thailand. Siasatan polis terhadap suami mangsa mendapati lelaki itu dipercayai terbabit dengan aktiviti penyeludupan dadah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!