PBGNM bakal adakan pertemuan bersama Matrade, NGO luar negara
PERSATUAN Belia Gerak Niaga Malaysia (PBGNM) dalam perancangan untuk mengadakan pertemuan bersama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di luar negara.
Presidennya, Datuk Khairul Adzha berkata, perjumpaan itu bertujuan membincangkan alternatif terbaik bagi mengurangkan kos logistik yang meningkat sebanyak 200 peratus sejak pasca pandemik Covid-19.
“Berdasarkan mesyuarat yang diadakan bersama ahli persatuan, kami sebulat suara bersetuju untuk mengadakan beberapa perjumpaan bersama Matrade dan akan cuba menghubungi NGO-NGO di luar negara.
“Kami juga dalam usaha untuk melihat sinergi yang dapat disatukan antara perniagaan ahli-ahli persatuan bagi memastikan kecekapan kos-kos (perniagaan) yang terlibat,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau menggesa agar kerajaan dapat segera mengembalikan kestabilan ekonomi negara terutamanya melibatkan kekuatan mata wang ringgit berbanding mata wang Amerika Syarikat (AS).
Menurutnya, ahli persatuan meluahkan kegusaran ekoran ketidakstabilan ekonomi negara yang menyebabkan kenaikan harga barang mendadak terutama bagi perniagaan melibatkan barangan mentah yang diimport.
“Ada juga yang mengeluh kerana terpaksa menanggung kos sebanyak dua kali ganda, iaitu kenaikan harga barang dan pertukaran mata wang dalam masa sama.
“Ini menjejaskan kebolehupayaan mereka untuk terus memberi bekalan kepada pelanggan terutamanya dalam pembekalan berkontrak,” ujarnya.
Dalam pada itu Khairul turut menegaskan, PBGNM tidak bersetuju sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan dalam tempoh terdekat kerana keadaan akan menjadi lebih tidak stabil.
“Ahli politik diharapkan dapat fokus membantu rakyat melebihi kepentingan berpolitik buat masa yang sungguh mencabar ini.
“Janganlah disebabkan kuasa, rakyat terus menerus diabaikan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!