PRU15: Gerakan sasar dua Parlimen, 5 DUN di Kedah

Dominic Lau Hoe Chai ( tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2022 di sini pada Jumaat.
Dominic Lau Hoe Chai ( tengah) ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Kedah 2022 di sini pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) berhasrat untuk bertanding di dua Parlimen dan lima Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, dua Parlimen terbabit adalah Alor Setar dan Sungai Petani.

Katanya, bagi DUN pula cadangan yang diterima melibatkan kawasan Kota Darulaman, Derga, Sidam, Bakar Arang dan Lunas.

"Kita sudah menerima senarai berkenaan oleh itu kita akan panjangkan permohonan terbabit kepada pusat untuk dibincangkan.

"Ia juga termasuk semua pandangan, cadangan, bantuan dan strategi- strategi yang mereka (Kedah) minta," katanya ketika sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Gerakan Kedah 2022 di sini pada Jumaat.

Menurutnya, calon dan juga kawasan yang dicadangkan itu juga akan dibuat penilaian dan analisis untuk dibawa kepada Perikatan Nasional (PN) pusat sebagai rundingan kerusi dan selanjutnya.

"Kita juga menjelaskan kepada perwakilan bahawa mandat rundingan kerusi itu diberikan kepada pusat sepenuhnya untuk perbincangan di peringkat PN," katanya.

Dominic Lau Hoe Chai berkata, tidak dinafikan akan berlaku pertindihan antara komponen parti PN dalam kawasan-kawasan tertentu bagi isu pemilihan calon.

Artikel Berkaitan:

"Tetapi kita mengambil ia sebagai sesuatu yang positif iaitu situasi ini bermaksud PN mempunyai ramai calon yang layak.

"Walau bagaimanapun, calon-calon yang telah dicadangkan oleh parti masing-masing itu harus dipertimbangkan melalui dua faktor iaitu parti dan calon," katanya.

Beliau menambah, faktor parti yang dimaksudkan ialah dari segi sokongan daripada jentera- jentera parti.

"Bagi calon pula adakah individu terbabit diterima oleh masyarakat atau yang boleh menang dengan peratus yang lebih tinggi.

"Kita di parti Gerakan tiada masalah kerana memang kita nak memastikan kemenangan PN, sesiapa sahaja jadi calon kita boleh terima selagi dia memenuhi faktor-faktor terbabit," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!