PM simpati nasib mangsa kebakaran di Kampung Cina
KUALA TERENGGANU - Sebanyak 12 keluarga yang terlibat dalam kebakaran deretan rumah kedai di Kampung Cina, di sini, pada malam Ahad, menerima bantuan awal RM1,000 setiap keluarga daripada Pejabat Perdana Menteri pada Jumaat.
Bantuan wang tunai tersebut disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus kepada setiap ketua isi rumah terbabit bagi meringankan beban mereka selepas ditimpa bencana itu.
Mohammad Anuar berkata, beliau akan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai bentuk bantuan lain yang akan menyusul kepada mangsa selepas ini.
"Saya dah meninjau lokasi kejadian dan bagi pihak Perdana Menteri saya bersimpati atas apa yang menimpa.
"Saya difahamkan ada juga bantuan awal telah disalurkan oleh pihak kerajaan negeri dan hari ni saya datang mewakili Perdana Menteri untuk menyampaikan sedikit sumbangan tanda ingatan daripada Perdana Menteri,” katanya selepas meninjau lokasi kebakaran di Kampung Cina.
Mohammad Anuar berkata, beliau juga akan berbincang dengan perdana menteri bagi membantu kesemua mangsa melalui agensi atau pihak berkenaan memandangkan bangunan rumah kedai tersebut dibina di atas tanah berstatus Lesen Pendudukan Sementara (TOL).Kejadian berlaku pada jam 8.15 malam Ahad itu, mengakibatkan 12 rumah kedai di Jalan Bandar, Kampung Cina yang antaranya melibatkan kedai kain, kedai makan, kedai emas dan rumah penginapan, musnah.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Md Hilman Abd Rashid sebelum ini, dilapor berkata pihaknya tidak menemui sebarang unsur jenayah sebagai punca kebakaran tersebut. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!