PRU15 ketika negara tenang: Dr Mahathir
PUTRAJAYA - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat waktu paling sesuai diadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) adalah dalam keadaan negara tenang dan bebas dari sebarang bencana seperti banjir.
Menurutnya, jika pilihan raya diadakan pada musim banjir, ia akan menyukarkan banyak pihak termasuk rakyat.
"Payah nak bergerak (berkempen) dan orang ramai tidak boleh keluar mengundi. Mungkin ada yang cedera atau mati," katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini pada Jumaat.
Bagaimanapun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) berkata, sekiranya kerajaan menetapkan tarikh pilihan raya pada musim banjir, pihaknya bersedia menghadapinya.
"Kerajaan juga perlu mengambil berat terhadap pembangkang dengan memberi kami masa untuk menyusun strategi parti.
"Jangan buat sesuatu supaya parti lawan tidak dapat ambil bahagian dalam pilihan raya," katanya.
Sebelum ini, desas-desus timbul mengatakan kemungkinan PRU15 diadakan pada tahun ini.
Namun, Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan banjir besar berlaku pada November berikutan cuaca dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu iaitu risiko hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!