Lebih banyak serangan, fitnah menjelang PRU15: MB Johor
JOHOR BAHRU - Kerajaan negeri akan menerima lebih banyak serangan, fitnah dan penipuan dilakukan pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, serangan tersebut dilakukan pembangkang untuk menyemarak perasaan benci rakyat terhadap kerajaan negeri.
"Antara buktinya ialah 'posting' oleh Ahli Parlimen Kluang daripada parti DAP ini yang ternyata adalah satu lagi contoh penipuan pembangkang dalam usaha menghasut rakyat mengenai Enakmen Anti Lompat Parti.
"Adakah pihak pembangkang di Johor tidak tahu atau buat-buat tidak tahu proses undang-undang negara? Tidak tahu, bertanya. Malu bertanya sesat jalan," katanya dalam entri terbaharu Facebook miliknya pada Jumaat.
Semasa sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-15 di Kota Iskandar pada Khamis, Marina Ibrahim (PH-Skudai) mencadangkan penubuhan jawatankuasa pilihan khas bagi menjalankan kajian dan cadangan Enakmen Anti Lompat Parti.
Cadangan itu ditolak secara majoriti melibatkan 37 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) manakala 13 ADUN bersetuju supaya undian dijalankan.
Kemudian menerusi satu 'posting' Ahli Parlimen Kulai, Wong Shu Qi mendakwa, UMNO dan BN yang menguasai 37 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor menolak enakmen tersebut.
Onn Hafiz berkata, pembangkang di Johor perlu tahu perkembangan proses enakmen tersebut dan kini sudah sampai ke peringkat mana.
Tegasnya, kerajaan negeri tidak pernah menidakkan kepentingan Akta Anti Lompat Parti, sebaliknya akan terus mengikuti proses dan saluran undang-undang yang betul bagi memastikan amalan demokrasi terjamin di Johor.
"Ini juga adalah komitmen Barisan Nasional Johor bagi melunaskan Ikhtiar BN yang diumumkan semasa pilhan raya negeri tempoh lalu. Namun kita tidak perlulah hendah mendahului mana-mana pihak.
"Terkini Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah akan mendapatkan persetujuan Raja atau Yang di-Pertua Negeri, mengikut mana yang berkenaan sebelum memberi perkenan terhadap Seksyen 6 Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022," katanya.
Jelas beliau, selepas perundangan itu berkuat kuasa di peringkat negeri, barulah negeri meminda Undang-Undang Tubuh atau Perlembagaan Negeri selaras dengan Sekyen 6 Akta A1663 berhubung dengan pindaan Jadual Kelapan, iaitu peruntukkan larangan lompat parti.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!