Wilayah Persekutuan sapu bersih emas gimnastik

Barisan atlet gimrama Wilayah Persekutuan tampil cemerlang pada Sukma MSN 2022.
Barisan atlet gimrama Wilayah Persekutuan tampil cemerlang pada Sukma MSN 2022.
A
A
A

SKUAD gimrama Wilayah Persekutuan ternyata tiada tandingan dan berada dalam kelas tersendiri apabila berjaya menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas yang ditawarkan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022.

Selepas menyambar emas acara all-around berpasukan dan acara senaman berkumpulan 5 tali sebelum ini, pasukan 'WiPers' menambah koleksi pingat dengan lima emas dan empat perak di Gimnasium 1, Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil pada Jumaat.

Saingan pada Jumaat menyaksikan Valerie Ng Zi Yi muncul atlet paling cemerlang apabila merangkul tambahan dua emas dan dua perak.

Atlet cilik berusia 14 tahun itu, berjaya memperagakan aksi memukau untuk meraih emas acara belantan dengan mengutip 21.700 mata, manakala rakan sepasukannya, Nur Zhafirah Wong Rudy Kurniawan (21.550) dan Jasmine Low Jia Thong (20.900) dari Selangor, masing-masing membawa pulang perak dan gangsa.

Atlet pasukan kebangsaan itu turut cemerlang dalam acara riben untuk muncul juara dengan mata keseluruhan 22.050, manakala rakan sepasukannya, Lezane Tan Li Hwe (21.600) dan Jasmine Low Jia Thong (21.150) berpuas hati dengan perak dan gangsa.

Terdahulu, Lezane menjuarai acara apparatus individu gelung dengan persembahan menakjubkannya untuk meraih 23.200 mata, yang menyaksikan Valerie (21.250) dan Nicole Cheng Qi Ern (20.950) dari Pulau Pinang meraih perak dan gangsa.

Skrip serupa berulang pada acara bola, dengan Lezane berjaya merangkul emas dengan catatan 23.200, manakala Valerie (21.900) Nicole (21.600) mengikutinya ke podium.

Semalam, Valerie dan Lezane bersama-sama Nur Zhafirah dan Erin Chan Ern Yi membantu Wilayah Persekutuan muncul juara acara all-around berpasukan, yang meliputi gelung, bola, belantan dan riben.

Artikel Berkaitan:

Acara gimrama kemudian menutup tirai dengan Wilayah Persekutuan merangkul emas acara latihan berkumpulan 5 bola dengan mencatatkan 23.500 mata.

Pasukan yang dibarisi Carol Na Yuan Qi, Hannah Aisyah Abu Hassan, Koh Kai Qin, Qistina Balqis Joo Mazlan, Tam Shi Kwan dan Zara Firzanah Mohd Fazirul berjaya mengatasi Selangor dan Negeri Sembilan yang masing-masing meraih perak dan gangsa dengan mengutip 21.200 dan 19.800 mata.

Pengurus Pasukan Wilayah Persekutuan Clarissa Lee Ching Ching berkata, pencapaian luar biasa kontinjen itu melepasi jangkaan, walaupun mengalami gangguan dalam membuat persiapan sejak dua tahun lepas kerana pandemik Covid-19.

"Kami berjaya mengekalkan status (sebagai peneraju dalam sukan ini), tetapi negeri lain juga mencuba untuk bersaing dengan kami. Tetapi tanpa ragu-ragu, dengan kerja keras, displin dan latihan gimnas kami, mereka berjaya lakukannya," katanya.

Sementara itu, gimnas paling muda, Nur Zhafirah, 12, yang baru mencapai kelayakan bertanding dengan had umur Sukma bagi gimrana ditetapkan 12-15 tahun, terharu dengan prestasi yang dipamerkan.

"Saya tak jangka boleh capai mata tinggi, saya masuk sebab saya nak cuba sahaja, untuk dapatkan pengalaman. Tiba-tiba dapat markah bagus, saya rasa gembira," kata pelajar SK Convent (1) Bukit Nanas itu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!