Kakak raih emas, adik bawa pulang perak

Sara Alisha dan Anja Samia menunjukkan pingat yang dimenangi mereka dalam acara tenis perseorangan wanita Sukma MSN 2022 di Kompleks Sukan Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Sara Alisha dan Anja Samia menunjukkan pingat yang dimenangi mereka dalam acara tenis perseorangan wanita Sukma MSN 2022 di Kompleks Sukan Jalan Duta, Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN tenis Terengganu, Sara Alisha Nayar berdepan detik 'gembira dalam duka' selepas menewaskan adiknya, Anja Samia Nayar sekali gus meraih emas acara perseorangan wanita Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 pada Jumaat.

Pada perlawanan final berlangsung di Kompleks Sukan Jalan Duta, pertemuan pasangan beradik mewakili kontinjen Terengganu itu mempamerkan permainan cukup menarik sebelum Sara Alisha, 21, mendahului perlawanan set pertama dengan keputusan 6-1.

Tidak diberikan laluan mudah kepada kakaknya, Anja Samia, 17, bangkit di set kedua dan seketika berjaya mendahului 1-2 sebelum dominasi itu ditamatkan menerusi kemenangan Sara Alisha 7-4 dalam perlawanan berlangsung lebih sejam itu.

"Pengalaman yang pahit dan manis buat saya, namun sudah pasti saya gembira untuk menang namun turut sedih kerana kalahkan adik (Anja). Kami bermain dengan baik sekali di final ini.

"Jika diikutkan berlawan dengan Anja lebih sukar, kerana dia merupakan pemain pilihan pada Sukma ini," katanya kepada pemberita.

Bekas atlet kebangsaan itu memaklumkan, kemenangan diraihnya sekali gus menebus pingat emas yang tidak berjaya dibawa pulang pada Sukma 2016 di Sarawak selepas hanya meraih perak bagi acara itu.

Dalam pada itu, bagi kategori lelaki menyaksikan atlet tenis Perak, Mitsuki Leong Wei Kang meraih emas acara itu selepas menewaskan wakil Selangor, Darrshan Suresh 6-0, 7-5.

Gangsa acara itu menjadi milik atlet Negeri Sembilan, Naufal Siddiq Kamaruzzaman. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!