Rouxin ratu kolam renang Sukma

Rouxin Tan ketika beraksi dalam acara akhir 100-meter kuak lentang wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
Rouxin Tan ketika beraksi dalam acara akhir 100-meter kuak lentang wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) Majlis Sukan Negara (MSN) 2022 di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

ATLET kebangsaan, Rouxin Tan ternyata sukar digugat apabila terus menuai pingat emas keenam buat skuad renang Johor dalam kategori 100 meter (m) kuak lentang wanita pada Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Pusat Akuatik Nasional di sini pada Jumaat.

Perenang berusia 16 tahun itu merakam satu minit 05.19 saat (s) untuk mengungguli saingan dengan menewaskan atlet Wilayah Persekutuan Chong Xin Lin (1:05.55s) yang meraih perak dan gangsa menjadi milik wakil Sarawak Kelly Teo dengan catatan 1:07.41s.

Bagaimanapun, Rouxin berkata beliau tidak menyangka mampu menggondol enam emas susulan cabaran sengit daripada perenang Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak dan Sarawak.

"Tidak sangka sampai enam emas jadi sangat gembira dan tidak percaya sebab saya memang mengakui ada dapat saingan sengit daripada negeri lain. Namun, bersyukur mampu menghadiahkan pingat ini buat semua yang menyokong karier saya.

"Untuk perancangan seterusnya saya mahu melayakkan diri ke Sukan SEA Kemboja tahun hadapan namun saya percaya perlu masa kelayakan dahulu. Perkara berkenaan memang satu daripada impian saya yang perlu berusaha untuk ditunaikan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Jumaat.

Rouxin yang membuat penampilan sulung pada Sukma edisi kali ini telah meraih lima emas masing-masing dalam acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 200m kuak lentang dan 200m individu rampaian.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Medini, Johor itu mengakui penat apabila terpaksa mengharungi kejohanan berturut-turut namun percaya kekuatan mental dan fizikal beliau yang meletakkan dirinya di tahap sekarang.

Terdahulu, Wilayah Persekutuan muncul juara keseluruhan acara renang bagi edisi Sukma ke-20 selepas mengumpul 25 pingat (11 emas, 11 perak dan tiga gangsa) diikuti Selangor di tempat kedua (sembilan emas, 10 perak dan lapan gangsa).

Artikel Berkaitan:

Johor terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila hanya mengumpul tujuh emas, empat perak dan dua gangsa. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!