PM cipta sejarah berucap bahasa Melayu di Perhimpunan Agung PBB
NEW YORK - Setelah 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu diterima sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957, hari ini bahasa Melayu dimartabatkan di ibu pejabat badan tertinggi dunia itu di Amerika Syarikat.
Pada September 1957, tidak sampai sebulan selepas negara mencapai kemerdekaan, Tun Dr Ismail Abdul Rahman yang merupakan duta pertama Malaysia ke Amerika Syarikat dan PBB, muncul di Perhimpunan Agung PBB untuk menyampaikan ucapan dengan berbaju Melayu lengkap dengan keris.
Beliau kemudian menjadi Timbalan Perdana Menteri dari September 1970 hingga Ogos 1973.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencipta satu lagi sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia yang pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada perhimpunan diplomatik terbesar itu.
Beliau yang tampil segak berbaju Melayu hitam mencuri tumpuan delegasi lain sebaik melangkah masuk ke dewan utama, manakala seluruh delegasi negara termasuk Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah turut memakai baju kebangsaan dan batik Malaysia.
Perdana Menteri mengakhiri ucapan berdurasi 20 minit itu dengan ayat "United we stand, divided we fall”, selagi kita bersatu padu dan teguh bersama dalam memikul beban ini, saya pasti kita akan berjaya”.
Beliau turut mengajak komuniti antarabangsa bekerjasama dengan mengamalkan semangat Keluarga Dunia, dalam menghadapi cabaran global. - Bernama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!