Hanya 960,000 pekerja sertai kesatuan sekerja
MARANG - Hanya 9.6 peratus atau 960,000 orang pekerja di negara ini mendaftar sebagai ahli kesatuan sekerja setakat ini.
Ketua Pengarah Kesatuan Sekerja Malaysia, Kamal Pardi berkata, jumlah tersebut dilihat masih rendah berbanding 10 juta pekerja yang layak untuk menyertai kesatuan sekerja di seluruh negara.
"Kita mempunyai 767 kesatuan sekerja swasta dan kerajaan yang berdaftar, jadi kita galakkan mana-mana pekerja yang masih belum menganggotai kesatuan sekerja agar mendaftar sebagai ahli," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir ke Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) 2.0 Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) Terengganu dan Kelantan dengan Kolaborasi Bersama Agensi KSM, Kesatuan Sekerja dan NGO di Asrama Perkaya pada Sabtu.
Program CSR melibatkan pelbagai agensi dan NGO itu sebelum ini sudah diadakan di 10 negeri iaitu Sabah, Kelantan, Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu.
Dalam pada itu, Kamal berkata, pekerja digalakkan menyertai kesatuan kerana kesatuan sekerja bertindak sebagai perunding antara pekerja dan majikan terutama melibatkan kebajikan serta faedah yang lebih banyak kepada pekerja.
"Undang-undang yang ditetapkan sudah ada tapi ia sebagai minimum, jadi bila ada kesatuan sekerja mereka boleh merunding sesuatu yang lebih contohnya faedah menunaikan umrah terutama buat pekerja swasta.
"Jadi mereka (kesatuan sekerja) boleh perjuangkan manfaat tambahan ini kepada ahli-ahli yang menganggotai kesatuan sekerja bukan yang tertakluk dalam akta pekerja," jelas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!