Pengunjung gusar kes kecurian menjadi-jadi
PETALING JAYA - Pengunjung pasar pagi dan pasar malam Taman Medan meluahkan kegusaran berikutan kes kecurian yang semakin berleluasa dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di sekitar kawasan premis perniagaan tersebut.
Menurut seorang pengunjung, Mohd Nur Aiman, 33, berkata, sebelum ini, ibu dan ayahnya pernah berkunjung ke tapak pasar pagi di Taman Medan bagi mendapatkan barangan basah untuk dijadikan bekalan selama seminggu.
Dia berkata, bapanya meninggalkan barangan yang dibeli tersebut di dalam bakul motosikal kerana ingin mencari ibunya.
"Bapa saya hanya berjalan beberapa tapak dari lokasi motosikal diparkir untuk mencari ibu.
"Namun, hanya beberapa saat melangkah, dia dapati barangan basah yang diletakkan dalam bakul motosikal itu telah hilang dicuri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Mengulas lanjut, Mohd Nur berkata, kejadian itu bukannya perkara baharu berikutan sebelum ini ibu bapanya pernah berdepan situasi yang sama berlaku di sekitar tapak kawasan perniagaan terbabit.
Katanya, selain pasar pagi dan pasar malam, kedai-kedai yang menjual barangan basah berhampiran kawasan kediaman Apartment Desa Mentari Blok 11, Jalan PJS2 juga seringkali diancam kes kecurian sedemikian.
"Keluarga saya pernah berdepan kes kecurian seperti ini sebanyak tiga kali. Selain pasar pagi, kedai-kedai jual barangan basah di kawasan kediaman di sini juga mengalami perkara yang sama," katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Peniaga Pasar Pagi dan Pasar Malam Petaling Jaya, Kamal Ahmad Abdullah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, pihaknya mengakui kes kecurian di sekitar kawasan perniagaan itu sememangnya sering berlaku dan menggusarkan pengunjung yang hadir.
Kamal berkata, terdapat juga beberapa kes kecurian bateri dan pecah kenderaan pernah berlaku di kawasan itu sehingga menyebabkan kerugian kepada pengunjung di sini.
"Pihak persatuan pernah membuat tangkapan pada tahun lalu dan menyerahkan suspek berkenaan kepada anggota polis bagi tindakan selanjutnya," katanya.
Selain itu, Kamal berkata persatuan hanya boleh membantu membuat pemantauan berikutan pihaknya tidak mempunyai bidang kuasa terhadap sebarang kejadian yang berlaku di luar tapak perniagaan terbabit.
Katanya, pengunjung juga perlu mengambil kira semua faktor keselamatan dan sentiasa berjaga-jaga bagi menggelakan kejadian sedemikian berulang pada masa hadapan.
"Kebiasannya, pihak tidak bertanggungjawab ini akan melakukan kegiatan berkenaan sekiranya ada peluang.
"Contoh, jika ada kenderaan diparkir jauh dari tempat orang lalu lalang, maka ini membuka peluang kepada mereka untuk melakukan kegiatan itu," katanya.
Tambah Kamal, pihaknya juga sering bekerjasama dengan polis dan penguatkuasa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi memastikan kegiatan ini tidak berleluasa di kawasan berkenaan.
"Persatuan memang tidak mempunyai kuasa namun kami membantu untuk pantau jika ada aktiviti mencurigakan.
"Malah kami sentiasa menyalurkan maklumat kepada polis bagi membolehkan tinjauan dilakukan berhubung perkara ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!