Piala Dunia 2022: Jerman perlu lebih bersedia

Reaksi pemain Jerman, Thomas Mueller (kiri) dan Jonas Hofmann selepas aksi menentang Hungary di Leipzig. - Foto AFP
Reaksi pemain Jerman, Thomas Mueller (kiri) dan Jonas Hofmann selepas aksi menentang Hungary di Leipzig. - Foto AFP
A
A
A

KEKALAHAN mengejut 0-1 Jerman kepada Hungary dalam Liga Negara-Negara UEFA memberi bayangan gergasi Eropah itu perlu lebih bersedia sebelum menyingkap tirai Piala Dunia 2022 di Qatar.

Malah pengendali Jerman, Hansi Flick tanpa berselindung mengakui masih terdapat penambahbaikan perlu dilakukan pasukan selepas diaibkan skuad kendalian Marco Rossi di Red Bull Arena itu.

Katanya, bagaimanapun kekalahan itu tidak akan menjejaskan tumpuan utama pasukan tersebut di temasya bola sepak dunia pada November ini.

“Kami tahu apa yang diperlukan pasukan selepas kekalahan ini. Ia secara tidak langsung membuka kembali mata setiap pemain pasukan untuk bekerja lebih gigih sebagai persediaan Piala Dunia Qatar 2022.

“Kami tidak berani, proaktif dan bermain tanpa keyakinan sepanjang 90 minit perlawanan ini secara keseluruhan berdepan Hungary.

“Kekalahan ini juga secara tidak langsung menjatuhkan reputasi pasukan terutama aksi separuh masa pertama yang terburuk sepanjang 14 perlawanan saya mengendalikan pasukan,” katanya.

Gol tunggal perlawanan jaringan penyerang kelab liga Switzerland, FC Basel, Adam Szalai pada minit ke-17, memberikan Hungary kemenangan 1-0 mengatasi Jerman di Leipzig.

Tiga mata dari itu membolehkan Hungary memperkukuhkan kedudukan teratas Liga A Kumpulan 3 dengan 10 selepas mengharungi lima perlawanan dengan berbaki satu saingan.

Artikel Berkaitan:

Sementara kekalahan pertama Jerman itu menyaksikan pasukan tersebut menduduki tangga ketiga Kumpulan dengan enam mata selepas mengharungi lima perlawanan.

Mengenai gol Slazai, Flick berkata, ia sesuatu yang boleh dielakkan disebabkan bukan jaringan kebiasaan setiap hari.

“Kami mahu mencuba sesuatu dengan Jonas Hofmann di bek kanan, saya mahu mencuba sesuatu yang baharu, namun tidak berjaya.

“Saya juga tidak sangka kami mencipta peluang begitu kecil. Kami perlu fokus untuk mendapatkan rentak kemenangan. Masa untuk eksperimen sudah berakhir,” kata Flick.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!