11 tempat berkelah di Baling berisiko insiden kepala air
BALING - Sebanyak 11 kawasan rekreasi dan perkelahan di Baling dikenal pasti berisiko berlaku insiden kepala air termasuk Lata Celak di Kampung Iboi yang mengakibatkan tiga nyawa terkorban pada 4 Julai lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, 10 kawasan perkelahan lain di Baling termasuk Kampung Weng Dalam, Air Panas Ulu Legong, Kuala Kedua, Lubuk Badak, Sungai Pam, Lata Baling, Lubuk Pedati, Lata Nering, Lata Bayu dan Lata Bukit Hijau.
Menurutnya, jumlah itu menjadikan Baling antara paling berisiko berbanding daerah lain di Kedah.
"Di Sik terdapat lima kawasan berisiko kepala air sementara di Kulim dan Langkawi ada empat, Kuala Muda dan Yan ada tiga, Kubang Pasu dan Padang Terap ada dua, Pendang dan Bandar Baharu ada satu menjadikan kesemua tempat perkelahan yang berisiko kepala air di Kedah sebanyak 36 lokasi,"katanya ketika hadir ke Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Keselamatan Kebakaran dan Aktiviti di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kedah di sini, pada Sabtu.
Hadir sama merasmikan kempen, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk M Noor Azman Taib.
Kata Sayani, JBPM turut mengenal pasti sebanyak 218 lokasi 'hotspot' banjir di Kedah termasuk 52 di Baling sebagai persediaan menghadapi fasa peralihan Monsun Timur Laut November ini.
Menurut beliau, pemantauan berterusan sentiasa dilakukan sebagai persediaan melaksanakan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa sekiranya diperlukan di kawasan terjejas.
Dalam pada itu, kempen yang dihadiri kira-kira 2,000 pengunjung turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti antaranya demonstrasi memadam kebakaran, pameran kerjaya bomba, derma darah, ikon bomba, taklimat dan latih amal jom belajar berenang, kaedah menyelamat dan tips keselamatan.
Turut disediakan pendaftaran bomba komuniti, penyampaian alat pemadam api kepada ahli Sedia Urus Risiko Surirumah (Suri) dan penerima 1 Rumah 1 Alat Pemadan api (1RAPi).
"Dengan adanya kempen ini, kami beri pendedahan, apa tindakan cepat perlu dilakukan di kawasan persekitaran kediaman sekiranya berlaku kebakaran atau kejadian lain," katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Sayani berkata, persediaan dari segi logistik, latihan dan kemahiran bagi menghadapi perubahan fasa Monsun Timur Laut dilakukan dalam kalangan anggota bomba dengan melibatkan agensi berlainan.
Langkah itu bagi memastikan koordinasi dan komunikasi berjalan baik.
End
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!