ATM siap siaga berdepan banjir
TANAH MERAH - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh, khususnya di negeri-negeri yang berisiko berdepan banjir.
Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata persediaan itu, melibatkan mengatur gerak anggota dan aset milik ATM.
"Di Kelantan misalnya Markas 8 Briged telah bersedia, jika berlaku bencana banjir kita dah boleh gerakkan peralatan dan anggota. Kita dah bersedia sebab setiap tahun bencana banjir ini berlaku,” katanya selepas Majlis Bekwoh (kenduri) Kampung Ahli Parlimen Tanah Merah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peralla, Gual Ipoh, di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan negara mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November, yang mendorong kepada banjir besar pada penghujung bulan itu.
MetMalaysia menjangkakan impak cuaca yang dialami lebih signifikan memandangkan monsun timur laut yang aktif pada tempoh itu sekali gus risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!