Johor luaskan kuasamu di Sukma MSN 2022
KONTINJEN Johor melabuh tirai Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 kali ini dengan noktah luar biasa apabila muncul juara keseluruhan buat kali pertama sepanjang penyertaan di temasya dwi tahunan tersebut.
Kuasa sukan baharu dari selatan tanah air itu mengungguli temasya edisi ke-20 dengan mengutip 77 emas, 52 perak dan 43 gangsa.
Penyandang juara edisi Perak 2018, Terengganu yang meraih ibu segala pingat emas pula menduduki tempat kedua apabila meraih 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa.
Sementara tuan rumah kali ini Wilayah Persekutuan yang berjaya melakukan pecutan terakhir sebelum dipintas Terengganu mengakhiri cabaran ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.
Edisi Perak 2018, Johor mengakhiri cabaran di kedudukan kesembilan dengan jumlah 100 pingat - 29 emas, 34 perak dan 37 gangsa
Johor yang tampil dengan aura berbeza kali ini tidak pernah muncul juara keseluruhan sejak edisi Sukma Kuala Lumpur 1986.
Pada edisi sulung 1986, menyaksikan Johor mengakhiri cabaran di kedudukan kepalan dengan enam emas, lima perak dan enam gangsa dengan jumlah keseluruhan 17 pingat.
Pencapaian terbaik kontinjen Biru Merah sepanjang penyertaan Sukma pada edisi 1992 di laman sendiri apabila muncul naib juara keseluruhan dengan 20 emas.
Pencapaian kali ini juga menyaksikan peningkatan dari segi perolehan emas diraih kontinjen Johor dengan 40 emas kali terakhir diraih pada edisi Melaka 2010.
Dari segi acara pula, kayak menjadi lubuk emas buat kontinjen Biru Merah apabila meraih 23 emas diikuti olahraga (sembilan), berbasikal (11), renang (tujuh), wushu (enam).
Lapangan sasar menembak turut juga menyumbang lima, memanah (dua), judo (dua), silat (dua), angkat berat (dua), karate (satu), e-sukan (satu), petanque (satu), muaythai (satu), bola tampar (satu) dan badminton (satu).
Sementara itu, Kompleks Sukan Air, Presint 6 menjadi medan penguasaan bintang kayak Biru Merah, Muhammad Fakhrullah Mohd Rumaize muncul penyumbang terbanyak pingat lelaki apabila menghadiahkan sembilan emas.
Kilauan emas hadir dalam acara kayak individu (K1) 200 meter (m) (0:39.832), K2 200m (0:37.459), K2 500m (1:43.045) NR, K2 1000m (3:35.500) NR, TBR 1000m (lelaki) (4:58.490).
TBR 500m (campuran) ( 2:26.321), TBR 500m (lelaki) (2:19.230), TBR 200m (lelaki) ( 0:54.850) dan TBR 200m (campuran) (0:57.723)
Penampilan sulung perenang, Tan Rouxin pula menyaksikan perenang itu menyambar enam emas dalam acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada.
Atlet berusia 16 tahun itu juga unggul dalam acara 200m kuak lentang, 200m rampaian individu dan 100m kuak lentang sekali gus atlet wanita terbanyak merangkul pingat tersebut.
SUKMA MSN 2022
KONTINJEN EMAS PERAK GANGSA
Johor 77 52 43
Terengganu 64 49 56
W/Persekutuan 55 68 64
Sarawak 32 43 52
Selangor 31 55 44
Sabah 30 29 39
Pulau Pinang 30 28 42
Perak 27 28 46
Pahang 22 21 27
N. Sembilan 19 6 28
Melaka 17 11 23
Kedah 16 17 30
Perlis 6 7 10
Kelantan 3 8 10
Brunei 0 2 2
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!