MATA sedia perhebat pasaran pelancongan kesihatan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) sedia memperhebatkan pasaran pakej Pelancongan Kesihatan dalam Perubatan Dermatologi dan Estetika untuk menarik lebih ramai pelancong dengan syarat negara menawarkan rawatan yang dijanjikan tanpa berkompromi dengan kualiti serta keberkesanannya.

MATA dalam kenyataan berkata, pakej tersebut dilihat sebagai pasaran pelancongan perubatan yang sangat unik dan mempunyai potensi yang amat besar.

“Ia seiring dengan aspirasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Rangka Tindakan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) 2021-2025 menyasarkan RM1.7 bilion hasil pendapatan daripada rawatan perubatan pelancongan,” kata kenyataan tersebut pada Sabtu.

Menurut kenyataan tersebut, rawatan perubatan dermatologi dan estetika itu merupakan kaedah kecantikan yang diurus oleh pakar-pakar berkelayakan serta diperakui oleh KKM.

Tambah kenyataan itu, kebanyakan pakar tersebut terdiri dalam kalangan hospital dan klinik swasta bertauliah yang menawarkan rawatan seperti penjagaan utama dermatologi, pengurusan jerawat dan parut jerawat, pengurusan pigmentasi kulit, laser dalam amalan estetik perubatan, kualiti kulit, toksin botulinum, pengisi kulit serta sains kosmeseutikal.

“Pemain industri pelancongan terutamanya agensi pelancongan dan pengembaraan perlu mengambil peluang keemasan ini bagi mengadakan pakej-pakej pelancongan kesihatan dalam kesihatan dermatologi dan estetika.

“Malaysia perlu besaing dengan negara lain seperti Korea, Indonesia dan Thailand yang sudah lama memperkenalkan pakej pelancongan kesihatan yang begitu terserlah di pasaran dunia.

“MATA ingin melihat Malaysia menjadi destinasi pelancongan perubatan dermatologi dan estetika yang terbaik di rantau ini,” ujar kenyataan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!