Penang akhiri kemarau kemenangan

Penang FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0. - Foto Facebook Malaysian Football League
Penang FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri dengan menundukkan Kuala Lumpur (KL) City FC 1-0. - Foto Facebook Malaysian Football League
A
A
A

PENANG FC akhirnya mengakhiri kemarau kemenangan selepas menjinakkan Kuala Lumpur City (KL City), 1-0 dalam perlawanan Liga Super di Stadium Bandaraya, pada Sabtu.

Jaringan bintang import Brazil, Harimau Kumbang, Lucas Silva minit ke-79 membolehkan Penang menamatkan kemarau lapan perlawanan sebelum ini.

Skuad kendalian Datuk Zainal Abidin Hassan yang kali terakhir melakar kemenangan 2-1 ke atas Terengganu FC pada 22 Jun lalu bermula garang, berpeluang mendahului pada minit kelapan, namun penyudah Silva tersasar.

Anak buah Bojan Hodak turut menguji benteng Harimau Kumbang menerusi peluang terbaik yang hadir melalui Muhamad Irfan Zakaria pada minit ke-43 yang sekadar menggegar palang gol.

Babak kedua The City Boys mula mempamerkan corak permainan agresif mengasak benteng tuan rumah menerusi penyerang Jordan Mintah.

Namun deretan percubaan pelawat digagalkan ketumpulan penyudah sebelum Silva tampil menghadiahkan kemenangan kedua pasukannya musim ini.

Bagaimanapun kemenangan itu tidak mengubah kedudukan Harimau Kumbang yang kekal di kedudukan ke-12 liga dengan 10 mata selepas mengharungi 19 perlawanan.

KL City pula kekal di kedudukan keenam liga dengan 26 mata selepas mengharungi 19 perlawanan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!