Sepanyol rebah di kaki Switzerland

Pemain Switzerland meraikan kemenangan menewaskan Sepanyol 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara pada Ahad. - Foto Agensi
Pemain Switzerland meraikan kemenangan menewaskan Sepanyol 2-1 dalam saingan Liga Negara-Negara pada Ahad. - Foto Agensi
A
A
A

SEPANYOL mengalami kekalahan pertama peringkat Kumpulan 2 selepas mengharungi lima perlawanan Liga Negara-Negara setelah tunduk kepada Switzerland 2-1 di Zaragoza pada Ahad.

Kekalahan itu menyaksikan skuad bimbingan Luis Enrique terlepas kedudukan teratas kumpulan selepas dirampas Portugal yang menang 4-0 mengatasi Republik Czech.

Kekalahan tersebut juga membuka kelemahan pertahanan Sepanyol susulan kedua-dua gol dihasilkan menerusi gerakan set piece.

Pemain sensasi, Manuel Akanji dan Breel Embolo menjaringkan gol untuk Switzerland dari sepakan sudut masing-masing minit ke-21 dan 58.

Sepanyol pula meraih jaringan tunggal melalui Jordi Alba yang meledak gol pada minit ke-55.

"Dalam dua situasi set piece yang begitu penting pada Piala Dunia, lawan menghasilkan gol. Kami perlu memperbaikinya," kata pemain pertahanan Villarreal, Pau Torres.

Sepanyol dilihat bergelut dengan prestasi dan ia jauh berbeza berbanding pasukan yang mara ke separuh akhir Euro 2020 sebelum tewas kepada Itali menerusi sepakan penalti.

Ia adalah kekalahan pertama mereka di halaman sendiri sejak 2018 selepas mengharungi 22 perlawanan tanpa kalah.

Artikel Berkaitan:

Enrique nyata kecewa dengan prestasi anak-anak buahnya yang mempamerkan aksi hambar terutama pada separuh masa pertama.

"Pemain agak lembab, separuh masa pertama agak mengecewakan. Bagaimanapun kekalahan ini tidak memberi apa-apa kesan menjelang Piala Dunia.

"Sudah pasti saya mengharapkan mereka berada pada prestasi terbaik menjelang Piala Dunia, namun percaya sepenuhnya kepada kemampuan setiap pemain," ujar Enrique.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!