APM Pahang siap sedia hadapi banjir

Che Adam (depan, tengah) bersama peserta Latihan Pemantapan Sekretariat Pengurusan Bencana Zon Timur. - Foto FB APM Pahang
Che Adam (depan, tengah) bersama peserta Latihan Pemantapan Sekretariat Pengurusan Bencana Zon Timur. - Foto FB APM Pahang
A
A
A

KUANTAN - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang akan menugaskan kira-kira 350 anggotanya bagi menghadapi kemungkinan berlakunya banjir di negeri ini.

Pengarahnya, Kolonel Pertahanan Awam (PA) Che Adam A Rahman berkata, bilangan anggota itu akan ditambah kepada 400 sekiranya diperlukan.

Menurutnya, ketika ini terdapat 30 hingga 40 pegawai dan anggota APM di setiap daerah.

"Mereka telah bersedia untuk digerakkan bagi membantu operasi memindahkan mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan tugas-tugas lain sekiranya bencana itu berlaku.

"Bagi memantapkan kesiapsiagaan pegawai dan anggota, APM Pahang mengadakan latihan pengurusan bencana secara berperingkat selama dua bulan bermula awal bulan ini," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Che Adam berkata, aset logistik seperti lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot yang akan digunakan untuk aktiviti memindahkan mangsa juga telah diselenggaran dan berada dalam keadaan baik.

Beliau berkata, Latihan Pemantapan Sekretariat Pengurusan Bencana Zon Timur telah diadakan selama empat hari di Pejabat Negeri Pertahanan Awam (PNPA) Pahang di sini bermula 19 September lalu.

"Latihan disertai hampir 100 peserta itu bertujuan untuk memperkasa penugasan sekretariat pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah sebagai persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL)," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!