Rampasan kuasa di China?
BEIJING - Media sosial di China kecoh dengan khabar angin tentang kemungkinan rampasan kuasa telah berlaku di Beijing, kira-kira seminggu selepas dua bekas menteri dihukum atas kesalahan rasuah yang disifatkan sebagai keputusan paling kontroversi dalam sejarah negara itu.
Beberapa rakaman video yang menjadi tular di Twitter turut mendakwa Presiden Xi Jinping kini diletakkan di bawah tahanan rumah setelah pergerakan tentera yang tidak pernah berlaku sebelum ini dilihat menuju ke kediaman pemimpin tersebut di ibu kota, namun tiada sebarang pengesahan rasmi dibuat.
Ketika ini, sejumlah pengguna media sosial di China mendakwa kudeta sedang berlaku dan ketua tentera, Jeneral Li Qiaoming bakal dilantik sebagai Presiden baharu.
"Kenderaan milik Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) menuju ke #Beijing pada 22 September lalu bermula dari daerah Huanlai berhampiran Beijing ke bandar Zhangjiakou, wilayah Hebei melibatkan keseluruhan konvoi sejauh 80 kilometer.
"Selain itu, terdapat khabar angin #XiJinping diletakkan di bawah tahanan rumah setelah pegawai kanan #CCP (Parti Komunis China) menyingkirkan beliau sebagai pemimpin PLA," ujar pengguna Twitter yang menggunakan nama akaun Jennifer Zeng.
Sementara itu, seorang lagi pengguna media sosial yang menggunakan nama akaun Steve Smith turut mengiyakan khabar angin itu.
"Sesuatu yang 'besar' sedang berlaku di China, mungkin rampasan kuasa. Ribuan penerbangan telah dibatalkan dan berlaku pergerakan tentera berskala besar," katanya.
The Epoch Times memetik data Flight Master melaporkan sebanyak 9,583 penerbangan domestik telah dibatalkan pada 21 September lalu yang melibatkan 59.66 peratus jumlah jadual pada hari tersebut.
Selain itu, laporan itu juga menyebut tentang pembatalan lebih 50 peratus di beberapa hab pengangkutan udara Beijing. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!