Warga emas terlantar antara mangsa ribut
BUKIT SELAMBAU - Seorang warga emas terlantar berusia 82 tahun terpaksa dipindahkan ke rumah anaknya sementara waktu setelah rumahnya dilanda ribut dalam kejadian kira-kira 4.30 petang semalam.
Zakaria Ali dari Kampung Perak yang tinggal keseorangan dipindahkan ke rumah anak yang terletak bersebelahan setelah rumahnya mengalami kerosakan bumbung dalam kejadian itu.
Bagaimanapun, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara seorang lagi mangsa, Abd Samad Abdull, 59, dari kampung sama, tinggal bersama isteri dan dua anak, terpaksa menetap di inap desa berdekatan setelah dinding rumah dan bumbung rosak akibat ribut.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Daerah Kuala Muda, Kapten Azahar Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian pokok tumbang yang menghalang laluan disebabkan ribut.
Menurutnya, setibanya di lokasi pemantauan telah dibuat dan mendapati laluan ke kediaman mangsa dihalang oleh dahan pokok tumbang disebabkan angin kencang dan hujan lebat sekitar 4.30 petang.
"Ini menyebabkan dua buah rumah mengalami kerosakan melibatkan struktur rumah di mana kerja-kerja pemotongan dan pembersihan dijalankan untuk membolehkan laluan dibuka semula," katanya.
Selain itu, kedua-dua mangsa juga telah mendapat bantuan disalurkan Pejabat Zakat Daerah Kuala Muda yang melakukan kunjungan hari ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!