Operasi mencari Acap diteruskan: JBPM
BACHOK - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) peserta larian Gopeng Ultra Trail di Gua Tempurun Perak diteruskan dengan radius pencarian satu kilometer.
Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Soiman Jahid berkata, walaupun tempoh SAR telah tamat, pihaknya meneruskan usaha mengesan Mohamad Ashraf Hasan yang lebih dikenali sebagai Acap.
Bagaimanapun katanya, jumlah anggota terlibat dalam SAR dikurangkan.
"Kalau dalam tempoh SAR secara purata 200 terlibat dari pelbagai agensi, sekarang kita kurangkan kepada 80 atau 100 anggota.
"Kita berharap dapat menemui Acap seberapa segera," katanya kepada media selepas merasmikan Perkhemahan Kadet Bomba Peringkat Kebangsaan Kali Ke-29 di Pusat Kokurikulum Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di Tangok, petang tadi.
Perkhemahan selama lima hari itu disertai 704 kadet bomba dari 16 kontinjen seluruh negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!