Gagal bayar hutang, Zamsaham saman KAFA
KOTA BHARU - Pemilik The Red Warriors, Norizam Tukiman atau Zamsaham bertindak menyaman Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) selepas badan induk itu gagal melunaskan hutang RM3.93 juta.
Pendedahan itu dibuat menerusi satu hantaran Facebook yang dimuat naik pada Ahad.
Saya sebenarnya nak diamkan sahaja. Tapi selepas ramai yang tanya maka memang benar saya saman KAFA kerana gagal bayar hutang RM3.93 juta.
"Asalnya hutang KAFA RM3.8 juta namun naik ke RM3.93 juta. Hal ini kerana KAFA minta tambahan pinjaman tetapi setakat hari ni satu sen pun belum pulang ke saya," tulis pemilik Kelantan FC itu.
Sementara itu Setiausaha KAFA, Husin Deraman ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.
Katanya, badan induk tersebut sudah menerima surat saman yang dikemukakan oleh pemilik Kelantan FC.
"Buat masa ini kami sedang berusaha mencari dana bagi melunaskan bayaran tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!