BAM sasar satu emas kejohanan badminton di Sepanyol
PENGARAH Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek menyasarkan sekurang-kurangnya satu emas di Kejohanan Badminton Remaja Dunia di Santander, Sepanyol pada Oktober depan.
Beliau berkata, setakat ini persiapan dan latihan telah bermula selepas tamat Sukan Malaysia (Sukma) MSN 2022 di mana 17 pemain dipilih bagi berentap dalam kejohanan itu.
Menurutnya, meskipun persaingan cukup besar di antara negara Asia Tenggara dan dunia seperti China, Jepun, Taiwan, Korea, Indonesia dan Thailand, namun pihaknya optimis bahawa peluang atlet untuk membawa pulang kejayaan tidak mustahil untuk dicapai.
"Kita tahu dari peringkat remaja dunia ini negara ASEAN dan dunia memang mempunyai pemain yang bagus.
"Ini semua negara-negara yang sangat aktif dalam sukan badminton dunia dan kita ada persaingan besar. Jadi kita sebagai pesaing tentunya akan memberikan persembahan yang meyakinkan supaya peluang itu masih ada untuk membawa pulang kejayaan dalam kejohanan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Perasmian dan Penutupan Kem Bakat Badminton Zon Selatan di Krubong di sini pada Ahad.
Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), VP Shanmugam dan legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek.
Misbun berkata, mereka ini juga merupakan pemain yang telah disiapkan BAM untuk menggalas prestasi cemerlang sekali gus mencapai sasaran bahawa mereka adalah pemain harapan negara pada masa akan datang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, setakat ini lebih 40,000 peserta yang telah dilahirkan dalam Kem Bakat Badminton dan salah satu usaha untuk mencungkil bakat baharu dalam kesukanan itu di peringkat kanak-kanak.
Menurutnya, inisiatif itu penting bagi memastikan adanya pelapis atlet baharu yang akan mewarnai sukan badminton.
"Ini adalah satu perjalanan penting untuk sukan badminton pada masa akan datang sebab badminton adalah sukan Olimpik.
"Kita perlu ambil iktibar dan pentingkan di peringkat bawah untuk tarik minat anak-anak muda dari kanak-kanak lagi supaya mereka terkesan dengan apa yang kita buat," katanya.
Kem bakat yang diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lalu disertai murid-murid sekolah pelbagai bangsa berusia 7 hingga 12 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!