Kontraktor maut kenderaan terbabas
HULU TERENGGANU - Seorang kontraktor maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandunya terbabas dalam satu kemalangan di Kilometer 385.4 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Ajil-Bukit Besi pada Ahad.
Mangsa, Mohd Hafiz Fahmi Mat Bedin, 33, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala, kedua belah tangan dan dua kaki.
Ketua Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, kejadian berlaku pada jam 9.15 pagi ketika mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Jati, Kuala Nerus menuju ke Kemaman atas urusan kerja.
"Sampai di tempat kejadian, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dipandu mangsa hilang kawalan lalu melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri.
"Akibat kemalangan ini, mangsa tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurut Mohd Adli, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!