'Bulan lalu sudah banjir, hari ini banjir lagi'

Aina Kunisya membersihkan bahagian dapur selepas rumahnya di Kampung Mohd Amin, Johor Bahru, dilanda banjir kilat pada Ahad. Gambar kecil: Razid dan Muhamad Suzaihan.
Aina Kunisya membersihkan bahagian dapur selepas rumahnya di Kampung Mohd Amin, Johor Bahru, dilanda banjir kilat pada Ahad. Gambar kecil: Razid dan Muhamad Suzaihan.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mangsa banjir di Kampung Mohd Amin di sini tidak menyangka banjir kilat berlaku lagi pada Ahad selepas mereka baharu sahaja mengalami kerugian harta benda akibat bencana alam itu bulan lalu.

Mangsa banjir, Aina Kurnisya Abdullah, 21, berkata, air parit berhampiran naik dengan cepat sehingga hampir satu meter selepas hujan lebat beberapa jam yang bermula jam 6.30 pagi.

"Saya dan ibu tidak sempat menyelamatkan kereta dan sebuah motosikal kerana air naik dengan cepat, begitu juga barang lain seperti sofa dan perkakas elektrik dalam rumah.

"Penduduk di sini baru dilanda banjir bulan lalu dan bulan ini kena banjir lagi, saya harap pihak bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu untuk elak banjir berulang," katanya ketika ditemui di rumahnya pada Ahad.

Seorang guru memindahkan barang-barang ke tempat selamat selepas tabika di Skudai Kiri, Johor Bahru, dilanda banjir kilat pada Ahad.
Seorang guru memindahkan barang-barang ke tempat selamat selepas tabika di Skudai Kiri, Johor Bahru, dilanda banjir kilat pada Ahad.

Aina Kurnisya yang bekerja kilang berkata, keluarganya merancang untuk berpindah ke kawasan lain kerana bimbang banjir berulang pada masa depan.

Semntara itu, penuntut Kolej Universiti Maritim Netherland (NMUC), Muhammad Suzaihan Kassim, 25, berkata, dia dan 14 rakan yang tinggal di rumah banglo dua tingkat disediakan pihak kolej, panik apabila air naik dengan cepat.

"Kami tidak menyangka pula air akan masuk hingga ke dalam rumah. Bila jam 8.30 pagi, kita tengok air di jalan raya sudah naik sampai paras paha, manakala kawasan rumah pula air naik laju sehingga paras lutut.

Artikel Berkaitan:

"Kami terus mengalihkan barang elektrik seperti peti ais ke tingkat atas rumah. Barang lain seperti sofa dan barang-barang pembelajaran sempat kami alihkan kecuali sebuah komputer riba rakan saya rosak dimasuki air," katanya.

Muhammad Suzaihan berkata, kediaman tersebut menempatkan 43 penuntut, tetapi ketika kejadian hanya terdapat 15 orang kerana ramai pulang ke kampung berikutan cuti semester.

Sementara itu, sebuah Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Skudai Kiri di sini berdepan banjir kilat kali keempat sepanjang tahun ini.

Pengerusinya, Razid Madon berkata, banjir kilat kali ini menyebabkan tadika berkenaan dinaiki air hingga setengah meter selepas hujan lebat bermula jam 6.50 pagi.

"Jika hujan lebat berterusan, air akan naik antara 15 minit atau setengah jam kemudian. Saya sempat memaklumkan guru untuk menutup tadika dan meminta ibu bapa kepada enam kanak-kanak yang sudah berada di tadika untuk dibawa pulang semula," katanya ditemui di tadika berkenaan.

Bercerita lanjut mengenai banjir kilat yang sering dialami, Razid berkata, pihaknya terpaksa mencari peruntukan untuk membeli pelbagai kelengkapan baharu setiap kali terjejas dengan banjir kilat.

Menurutnya, antara barangan yang selalu rosak akibat banjir kilat adalah almari atau rak, kerusi, meja selain komputer riba dan mesin pencetak.

"Kami hanya berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan membaik pulih sistem perparitan di kawasan ini supaya kejadian banjir kilat akibat longkang tersumbat tidak lagi berulang," katanya.

Seorang penduduk mengharungi air banjir.
Seorang penduduk mengharungi air banjir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!