Zii Jia terbang ke Denmark berlatih bersama Axelsen
PEMAIN perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia akan terbang ke Denmark pada 9 Oktober ini bagi menjalani latihan khas menjelang dua kejohanan di Eropah bulan depan.
Pemain di ranking keempat dunia itu akan berlatih bersama juara dunia, Viktor Axelsen sebagai rakan sepelatih bagi menghadapi kejohanan badminton Terbuka Denmark dari 18 hingga 23 Oktober dan Terbuka Perancis.
“Axelsen merupakan pemain terbaik masa ini dan mengekalkan prestasinya dengan baik. Dia seorang pemain yang saya kagumi sejak dulu.
“Saya akan bertanding dalam kedua-dua kejohanan itu dan berkemungkinan juga dalam Terbuka Jerman serta Australia,” katanya.
Pemain kelahiran Alor Setar, Kedah itu juga akan menjadi rakan sepelatih kepada jaguh Denmark, Anders Antonsen.
“Saya sudah pun menghubungi Axelsen dan Antonsen untuk berlatih bersama mereka.
“Saya rasa ia lebih kepada fokus kerana ia nampaknya masih belum stabil. Jadi saya rasa ia sesuatu yang perlu dikuatkan (rakan sepelatih Denmark),” katanya yang sudah bebas sepenuhnya daripada kecederaan.
Zii Jia juga enggan meletakkan sebarang sasaran khusus pada Terbuka Denmark kali ini kerana baginya apa yang paling penting adalah mempamerkan prestasi terbaik.
"Tidak kisah menang atau kalah, paling penting adalah mempamerkan prestasi terbaik di kejohanan itu nanti," katanya.
Selepas Terbuka Denmark, Zii Jia yang dibimbing jurulatih dari Indonesia, Indra Wijaya akan beraksi di Terbuka Perancis bermula 25 hingga 30 Oktober dan kemungkinan besar turut menyertai Terbuka Hylo di Jerman (1 hingga 6 November) dan Terbuka Australia (15 hingga 20 November).
"Saya mungkin pergi Terbuka Hylo dan Australia kerana mahu kejar (kutip mata) bagi saingan Jelajah Dunia Akhir BWF selepas ada kejohanan yang tidak saya sertai sebelum ini," katanya.
Pemain berusia 24 tahun berkenaan sebelum ini dikritik hebat susulan penarikan diri daripada Sukan Komanwel.
Juara Asia itu terus menerima kecaman apabila dia tersingkir di pusingan ketiga Kejohanan Dunia, bulan lalu selepas tewas kepada pemain China, Zhao Jun Peng sebelum ditunjukkan jalan keluar di pusingan pertama Terbuka Jepun selepas itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!