Risiko banjir, PRU15 tidak sesuai tahun ini: Tuan Ibrahim
SUNGAI PETANI - Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak sesuai diadakan pada tahun ini disebabkan taburan hujan tinggi dan risiko bencana banjir yang dijangka berlaku pada pertengahan November ini.
Beliau berkata, berdasarkan ramalan keadaan cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia sebelum ini, negara akan menerima taburan hujan yang lebih pada pertengahan November ini berbanding bulan-bulan lain.
"Kalau buat PRU masa ini memang tidak sesuai...Kalau buat PRU, anggota polis kena jaga peti undi, mana hendak jaga keselamatan rakyat yang terjejas akibat bencana banjir lagi.
"Tambahan pula, jumlah anggota polis tidak cukup untuk tampung semua ini,” katanya.
Timbalan Presiden Pas itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022 dan Sambutan 90 Tahun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Lembangan Sungai Muda, di sini pada Ahad.
Tuan Ibrahim berkata, selain situasi kini tidak mendesak untuk diadakan pilihan raya, PRU15 juga perlu dibuat dan dirancang dengan berhati-hati supaya tidak menimbulkan sebarang mudarat dan masalah kepada semua pihak terutamanya rakyat. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!