PTPTN peruntuk RM56 bilion bantu lebih 3 juta pelajar
JOHOR BAHRU - Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sudah memperuntukkan dana sebanyak RM56 bilion sehingga Februari lalu bagi membantu lebih tiga juta pelajar di negara ini untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.
Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, pinjaman pendidikan tersebut turut meliputi 377,377 pelajar di Johor dengan pembiayaan berjumlah RM6.4 bilion.
"Kerajaan sentiasa peka terhadap pendidikan rakyat dan akan terus menjadikan PTPTN sebagai pemberi biaya terunggul serta dapat memberi manfaat kepada generasi akan datang," katanya pada majlis pelancaran Program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Damansara Aliff, di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Eksekutif (Dasar & Operasi) PTPTN, Mastura Mohd Khalid.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Perlis (YKPs) Affendi Rajini Khan dan Pengetua SMK Taman Damansara Aliff Adib Adham Daud.
Menurut Wan Saiful, pendidikan merupakan aset utama dalam pelaksanaan pembangunan negara dan dengan PTPTN, semakin ramai rakyat negara ini dapat menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi.
Katanya melalui pinjaman PTPTN, seramai 200,000 pelajar setiap tahun berpeluang melanjutkan pelajaran mereka.
Mengenai program Jelajah Solo Gen Y: Nilai-Nilai Murni Rakyat Malaysia anjuran YKPs dengan kerjasama PTPTN mulai 4 April hingga 30 April itu, beliau berkata ia bertujuan meningkatkan tahap kesedaran GenY terhadap era globalisasi dan memupuk semangat kenegaraan menerusi penerapan nilai-nilai murni cintakan negara.
"Beberapa elemen diberikan penekanan antaranya semangat cintakan negara, nilai-nilai murni dan buli kerana elemen ini kian pudar di kalangan generasi muda dek kerana teknologi yang berkembang pesat.
"Generasi Y merupakan generasi harapan negara yang amat bernilai bagi memastikan Malaysia terus cemerlang di mata dunia dan saya yakin program seumpama ini mampu meningkatkan nilai murni sekaligus mengurangkan gejala sosial di negara ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!