Lelaki maut kereta dipandu bertembung lori
ALOR SETAR - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan sebuah lori di Jalan Kuala Nerang-Padang Sanai dekat Padang Terap pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar berkata, mangsa berusia 34 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kenari maut di tempat kejadian akibat tersepit dan mengalami kecederaan parah di kepala.
Menurutnya, pemandu lori yang berusia 36 tahun pula mengalami kecederaan.
"Siasatan awal mendapati kejadian jam 4.20 petang itu berlaku selepas lori yang datang dari arah Sintok menuju ke Kuala Nerang dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan kereta mangsa.
"Pelanggaran itu menyebabkan kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri menghala ke Kuala Nerang," katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.
Mulkiaman berkata, mayat mangsa yang berasal dari Kuala Nerang dekat sini dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
"Pemandu lori yang berasal dari Alor Setar pula mengalami kecederaan masih dirawat di Hospital Kuala Nerang.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!